RIO DE JANEIRO: Bintang sensasi Argentina, Lionel Messi menjaringkan gol menarik menerusi sepakan percuma, tetapi Chile kembali bangkit bagi melakar keputusan seri 1-1 dalam aksi saingan Copa America, sebentar tadi.
Sepakan percuma kaki kiri Messi membolehkan Argentina mendahului perlawanan pada babak pertama, tetapi Eduardo Vargas berjaya menyamakan kedudukan di babak kedua selepas penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez menyelamatkan sepakan penalti pemain tengah, Arturo Vidal.
Sebelum aksi Kumpulan B di Stadium Nelson Santos itu bermula, satu upacara diadakan sebagai tanda penghormatan kepada legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona biarpun perlawanan berlangsung tanpa kehadiran penonton disebabkan pandemik COVID-19.
Dalam perlawanan itu, dominasi Argentina sejak awal permainan membuahkan hasil apabila Messi meledak gol menerusi sepakan percuma menarik dari jarak 22 meter pada minit ke-33 yang gagal diselamatkan Martinez.
Ketinggalan 0-1, Chile bermula garang di babak kedua menerusi beberapa percubaan, tetapi berjaya diselamatkan Martinez.
Bagaimanapun, Chile dihadiahkan sepakan penalti menerusi sistem video bantuan pengadil (VAR) selepas Tagliafico didapati mengasari Vidal dalam kotak penalti.
Sepakan penalti yang diambil Vidal bagaimanapun berjaya ditepis Martinez sehingga bola terkena palang sebelum Vargas menanduk masuk bagi menjaringkan gol penyamaan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




