syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim antara selebriti tanah air yang mengucapkan tahniah kepada bintang bola sepak dunia, Sir David Beckham atas penerimaan Hollywood Star, hari ini.
Tidak sekadar ucapan tahniah, Sarimah, 48, turut memuat naik video memaparkannya bersama suami tercinta, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar dan anak mereka, Tunku Sofia Najihah.
“Tahniah kepada Sir David Beckham atas penerimaan Hollywood Star. Kami sangat berbesar hati dapat bersama anda dan berharap dapat bertemu di United Kingdom,” tulisnya.
Video dan foto-foto itu dirakam ketika mereka dijemput sebagai tetamu kehormat ke majlis gala eksklusif sempena pembukaan rasmi The Londoner Grand Macao, sebuah destinasi mewah yang menjadi tumpuan bintang antarabangsa dan tokoh korporat serantau.
Terdahulu, Sarimah berkongsi pengalamannya yang teruja dapat bertemu dan berbual dengan Beckham yang juga suami kepada bekas anggota kumpulan Spice Girls, Victoria Beckham atau Posh.
“Dia sangat ‘sporting’. Ajak kami berswafoto dan bersembang mengenai anak-anak, sukan, kerjaya dan keluarga.
“Paling menyentuh hati, dia turut merakamkan satu video kata-kata semangat buat saya yang baru mula melangkah sebagai penerbit filem. Ia satu kenangan manis yang akan saya simpan selamanya,” katanya.
Terdahulu, Beckham menerima penghormatan apabila dianugerahkan Hollywood Star di Hollywood Walk of Fame, bertepatan dengan bermulanya aksi Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat.
Bekas kapten England itu menjadi pemain pertama dari negara berkenaan memenangi kejuaraan liga di empat negara berbeza, sekali gus terus mengukuhkan statusnya sebagai antara ikon terbesar bola sepak dunia.
Berbeza dengan majlis Hollywood biasa yang menggunakan karpet merah, upacara kali ini dihiasi karpet hijau bertemakan padang bola sepak bagi meraikan kehangatan Piala Dunia yang turut berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




