Penyeludup lari tinggalkan 200 peranti vape nampak kelibat anggota PGA

Penyeludup lari tinggalkan 200 peranti vape nampak kelibat anggota PGA

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Penyeludup lari meninggalkan 200 peranti vape dianggarkan bernilai RM20,000 di tebing Sungai Golok di pangkalan haram Tok Dik di sini, malam tadi selepas melihat kelibat anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) yang membuat rondaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, terdahulu pasukannya membuat rondaan di sekitar pangkalan haram di Kampung Bakong di sini.

“Pada jam 7.30 malam, pasukan ternampak beberapa lelaki sedang memasukkan sejumlah kotak dari tebing sungai sebelah Malaysia ke dalam perahu.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, lelaki itu bertindak melarikan diri dengan menaiki perahu ke sebelah Thailand.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui 200 unit peranti vape tiga perisa dengan anggaran nilai RM20,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Radzi berkata, semua barangan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Rantau Panjang untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurutnya lagi, peranti vape itu dipercayai untuk diseludup masuk ke Thailand atas faktor permintaan yang amat tinggi namun vape atau rokok elektronik masih diharamkan di sana meliputi pemilikan, penggunaan, import, eksport dan penjualan.

“Kawasan pangkalan haram itu adalah antara lokasi aktif bagi aktiviti penyeludupan di sektor Jeram Perdah, di sini.

“Rondaan dan pemeriksaan di kawasan pangkalan haram terbabit adalah rutin bagi menunjukkan kehadiran pihak berkuasa selain mengekang aktiviti penyeludupan dari terus berleluasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top