
Balogun (kanan) menjadi pemain pertama AS selepas Bert Patenaude menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan Piala Dunia sejak 1930.
FOLARIN Balogun menghidupkan semula memori paling bersejarah bola sepak Amerika Syarikat (AS) apabila menjadi pemain pertama negara itu menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan Piala Dunia sejak Bert Patenaude melakukannya 96 tahun lalu.
Apa yang lebih menarik, kedua-dua pencapaian itu hadir ketika menentang Paraguay.
Penyerang AS Monaco itu meledak dua jaringan dalam kemenangan 4-1 ke atas Paraguay pada aksi pembukaan Kumpulan D Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles pada Sabtu, sekali gus mengakhiri penantian hampir satu abad untuk melihat pemain AS mengulangi pencapaian Patenaude.
Pada edisi sulung Piala Dunia 1930 di Uruguay, Patenaude mencipta sejarah apabila menjaringkan hatrik dalam kemenangan 3-0 AS ke atas Paraguay, rekod yang masih kekal sebagai satu-satunya hatrik AS di pentas Piala Dunia.
Meskipun tidak menyamai tiga gol legenda itu, Balogun tetap menempatkan dirinya dalam kelompok eksklusif bersama Patenaude sebagai satu-satunya pemain AS yang pernah menjaringkan lebih daripada satu gol dalam satu perlawanan Piala Dunia.



