Sindiket 'intip' jadual rondaan sempadan, polis tukar taktik, perkukuh integriti

Sindiket 'intip' jadual rondaan sempadan, polis tukar taktik, perkukuh integriti

Kota Bharu: Polis Kelantan merombak taktik jadual rondaan di sempadan Malaysia-Thailand, selepas mengesan tindakan licik kumpulan sindiket yang membuat kajian terperinci bagi mengintip masa kawalan dan jadual penugasan pihak berkuasa.

Mendedahkan perkara itu, Ketua s Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kumpulan sindiket itu, dikesan mempelajari jadual penugasan bagi mencari peluang menceroboh dan membuka laluan melalui kawat duri di kawasan pangkalan haram yang telah dirobohkan sebelum ini.

Beliau berkata susulan penemuan taktik itu, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika mengadakan lawatan kira-kira dua bulan lepas, bagi mengubah taktik jadual rondaan sedia ada termasuk beralih kepada kawalan secara statik.

“Setakat ini kesan kerosakan akibat sabotaj kawat duri berkenaan tidak berkembang dan kekal di empat kawasan lama sahaja, yang kini telah pun dibaiki sepenuhnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas mengenai aspek keselamatan dalaman, Mohd Yusoff menegaskan tahap integriti pegawai dan anggota yang bertugas di kawalan sempadan ketika ini kekal berada pada tahap yang tinggi dan tiada sebarang kes kebocoran maklumat dikesan.

Bagaimanapun, pihak polis sentiasa memantau rapat perkara itu agar sebarang bentuk salah laku kekal berada dalam radar pengawasan pihak kontinjen.

“Sebagai langkah pengawasan berlapis ekoran kebimbangan terhadap isu-isu integriti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan telah menubuhkan sebuah pasukan petugas yang diletakkan secara langsung di bawah seliaan Ketua Polis Kelantan, bagi memantau sebarang salah laku di bawah penguatkuasaan.

“Pasukan khas ini ditubuhkan untuk melakukan semakan imbang supaya pihak pengurusan tidak hanya bergantung 100 peratus kepada unit di lapangan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata struktur pasukan ini, diketuai seorang pegawai berpangkat Asisten Komisioner dan bergerak berdasarkan arahan terus daripada Ketua Polis Kelantan sendiri.

Mengenai tempoh tugasan anggota di sempadan, beliau menjelaskan urusan penugasan anggota PGA dikawal selia sepenuhnya oleh Komander Briged Tenggara yang berpusat di Kuantan, Pahang.

Mohd Yusof berkata sistem penggiliran tugas itu dilaksanakan sebulan sekali, yang melibatkan tiga buah batalion utama iaitu Batalion 7 di Terengganu, Batalion 8 di Pengkalan Chepa dan Batalion 9 di Kuantan.

Beliau berkata sekiranya Batalion 8 sedang dalam tempoh tidak beroperasi atau bercuti, unit-unit risik mereka tetap akan digerakkan untuk melakukan rondaan bantuan kepada batalion-batalion lain, yang sedang beroperasi di sempadan ketika itu.

Dalam pada itu, PDRM Kelantan terus mengekalkan kerjasama bilateral yang amat baik dengan pihak penguat kuasa Thailand, melalui platform mesyuarat dua hala.

Mohd Yusoff berkata kerjasama erat itu, membuahkan hasil positif terutamanya dalam aspek perkongsian serta pertukaran maklumat membabitkan suspek buruan yang melarikan diri merentasi sempadan kedua-dua buah negara.

Beliau memberikan contoh, melalui hubungan dua hala itu, pihak polis baru-baru ini berjaya mengesan semula sebuah kereta milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah, yang dilarikan ke negara jiran itu, manakala sebuah lagi kenderaan yang turut dilarikan masih dalam proses untuk dikenal pasti.

Pada April lepas, kenderaan milik JKM Tanah Merah yang dilarikan oleh sekumpulan lelaki lalu ditemukan di Sungai Golok.

Pengesahan itu berpandukan nombor pendaftaran yang tertera pada kenderaan terbabit dan pacuan empat roda dipercayai masuk ke Thailand melalui Pusat Pemeriksaan Kastam Sungai Golok, Thailand.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top