Perpaduan tidak boleh dibentuk melalui satu program atau usaha bersifat sementara, sebaliknya perlu dipupuk secara berterusan demi memastikan kestabilan, keharmonian dan kemajuan negara.
Mesej itu menjadi antara pengisian utama Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2026 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Sukan Likas, di sini hari ini.

Mengangkat tema “Bersama Membina Negara Bangsa”, sambutan yang memasuki tahun keempat penganjurannya itu dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh interaksi antara rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha membina negara bangsa perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi asas kepada kestabilan serta kemajuan Malaysia.


Katanya, pelbagai program perpaduan yang dilaksanakan kementerian itu bukan sekadar acara tahunan, malah berperanan mewujudkan ruang bersama yang membolehkan rakyat daripada pelbagai latar belakang saling mengenali dan memahami antara satu sama lain.
“Pelaksanaan program-program perpaduan ini telah mewujudkan shared civic space antara komuniti, iaitu ruang bersama yang membolehkan rakyat daripada pelbagai latar belakang bertemu, berinteraksi dan membina kefahaman antara satu sama lain dalam suasana harmoni.
“Perpaduan memerlukan usaha yang berterusan, konsisten dan menyeluruh yang perlu dibina dan diperkukuh dari semasa ke semasa.” katanya pada Sambutan Minggu Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.


Sepanjang SMP 2026, lebih 50 aktiviti utama disusun bagi memberi peluang kepada masyarakat mendekati kepelbagaian budaya dan tradisi rakyat Malaysia.
Antara tarikan yang disediakan termasuk 15 Pameran Rumah KAMI, Pameran Perkampungan Rumah Etnik, Foodunites, Pesta Buku Sabah, Larian Uniti, pertandingan tarian etnik, Pertandingan Ratu Perpaduan, jualan usahawan perpaduan serta Konsert Malam Unity Sama-Sama.


Dalam perkembangan sama, Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) terus komited memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi menerusi pelbagai inisiatif termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS), Skuad Uniti, Mediator Komuniti, Perpustakaan Desa dan Arkib Komuniti.

Artikel lain: Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan 2026 himpunkan budaya, sejarah dan kenegaraan
Beliau berkata, pelaksanaan program secara menyeluruh itu menunjukkan impak positif apabila Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mencatat skor 0.701, iaitu pencapaian tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Pada majlis sama, lima Kawasan Rukun Tetangga menerima Geran Rukun Tetangga Progresif berjumlah RM525,500 bagi memperkasakan pelaksanaan program komuniti di kawasan masing-masing.



Turut mencuri tumpuan ialah pelancaran buku Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) terbitan Institut Integriti Malaysia yang menekankan pengukuhan budaya integriti melalui pendidikan, tadbir urus beretika dan pemerkasaan komuniti.
Sambutan Minggu Perpaduan 2026 dilihat sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkukuh semangat kebersamaan, muhibah dan integriti rakyat ke arah pembinaan sebuah negara bangsa yang lebih bersatu padu, harmoni dan sejahtera.






