am@hmetro.com.my
Seremban: Empat belas tokoh termasuk bekas menteri dan bekas EXCO kerajaan negeri diumumkan menyertai PAS malam tadi.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di sini malam tadi.
Antara nama besar termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Mohd Zaid Ibrahim, bekas EXCO Negeri Sembilan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek serta bekas Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman.
Turut sama bekas EXCO Perak yang juga bekas Naib Presiden BERSATU Datuk Hamidah Othman, bekas Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan Dr Rosli Yaakup yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan serta bekas Pengerusi Kelab UMNO Manchester Dr Md Nizam Baharom.
PAS turut menerima kemasukan Timbalan Pendakwa Raya yang juga bekas perancang bandar Negeri Sembilan Lokman Omar, Prof Mohd Nasir Ibrahim yang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi FINAS dan Naib Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Turut menyertai PAS ialah pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Anas Iman Sudin serta Saiful Adli Saiful Ridzuan yang juga bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Padang Serai.
Senarai turut merangkumi bekas Pegawai Pendidikan dan Setiausaha UMNO Ketereh Datuk Ahmad Tarmizi Musa, bekas EXCO Pemuda UMNO Malaysia Mostafa Shah serta Datuk Muqorrobin Mokhtaruddin yang pernah memegang jawatan dalam Pemuda UMNO dan BERSATU, selain dikenali sebagai pendaki Gunung Everest.
Turut menyertai Pas ialah Harfitiri Mohd Dahlan yang juga bekas EXCO Pemuda UMNO Malaysia serta Azlan Johar, bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor yang kini aktif sebagai pengulas sukan.
Kemasukan 14 tokoh berkenaan dilihat sebagai perkembangan signifikan kepada PAS menjelang PRN Negeri Sembilan, terutama apabila membabitkan individu daripada pelbagai latar belakang politik, profesional dan masyarakat sivil.
Penyertaan mereka dijangka memperkukuhkan lagi usaha PAS memperluas pengaruh parti itu dengan menarik lebih ramai golongan profesional, bekas penjawat awam serta pemimpin politik berpengalaman ke dalam saf perjuangannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




