Piala Dunia 2026: Penyokong Haiti meriahkan Boston, lupakan seketika masalah negara

Piala Dunia 2026: Penyokong Haiti meriahkan Boston, lupakan seketika masalah negara

Boston: Penyokong Haiti membawa suasana ‘Carnival’ ke pusat bandar Boston menjelang perlawanan pertama skuad negara itu di Piala Dunia sejak 1974, sambil ‘berperang’ dengan bunyi bagpipe penyokong Scotland yang turut berkampung di bandar itu.

Kumpulan muzik tradisional yang terdiri daripada pemain trompet buluh menghangatkan suasana di Copley Square di tengah Boston, yang menjadi tempat kepada komuniti Haiti di Amerika Syarikat.

“Kita akan lakukannya hari ini, tanpa rasa tidak hormat,” kata Lovely Patrick sambil melompat kegembiraan yang mana dia meninggalkan Caribbean ketika berusia 14 tahun untuk berpindah ke Amerika Syarikat.

Haiti yang berada di ranking ke-83 dunia, lebih 40 tangga di bawah Scotland, berharap dapat memperbaiki rekod penampilan tunggal mereka di pentas dunia 52 tahun lalu apabila tewas semua tiga perlawanan kumpulan di Jerman.

Turut dibarisi juara dunia lima kali, Brazil dan Maghribi dalam Kumpulan C, Scotland dilihat sebagai laluan terbaik untuk mendapatkan mata bagi skuad Les Grenadier yang turut diperkuatkan dengan dua pemain berketurunan Haiti yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Kejohanan itu juga memberi peluang kepada penyokong Haiti untuk melupakan seketika masalah yang melanda negara Caribbean itu, yang mana dilaporkan lebih 1.4 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan dan ketidakstabilan.

Di Amerika Syarikat, pendirian ketat pentadbiran Presiden, Donald Trump menambah kebimbangan dan pada Jumaat, seorang pemeriksa perubatan Pennsylvania berkata kematian seorang wanita Haiti akibat hipotermia selepas dibebaskan oleh ICE pada Mac lalu dianggap sebagai pembunuhan.

Ruthzee Louijeune iaitu ahli Majlis Bandar Boston dan anak kepada imigran Haiti, berkata situasi itu sedikit menjejaskan suasana sambutan Piala Dunia dalam komuniti, sementara larangan perjalanan ke Amerika Syarikat menghalang sebahagian peminat daripada hadir ke kejohanan terbesar itu.

“Adakah ia menjejaskan ‘mood’? Ya. Tetapi adakah ia akan menghentikan kami? Tidak sama sekali.

“Kami masih di sini. Kami masih gembira. Kami masih akan menyokong pasukan kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top