Mancini tinggalkan Al Sadd, makin hampir kembali ke Itali

Mancini tinggalkan Al Sadd, makin hampir kembali ke Itali

Doha: Roberto Mancini dilihat semakin hampir kembali mengemudi Itali selepas Al Sadd mengumumkan pemergian jurulatih berpengalaman itu, hari ini.

Pengendali berusia 61 tahun itu meninggalkan juara Liga Qatar berkenaan meskipun masih berbaki kontrak sehingga 2027.

Mancini sebelum ini menyertai Al Sadd selepas melalui tempoh yang kurang menjadi bersama skuad kebangsaan Arab Saudi, namun kini namanya kembali menjadi sebutan sebagai calon utama untuk membimbing Itali.

Media tempatan Itali melaporkan bekas pengendali Manchester City itu berada di kedudukan teratas dalam senarai pilihan Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) yang sedang mencari individu tepat untuk mengembalikan semula kegemilangan Azzurri.

Mancini bukan nama asing buat penyokong Itali apabila pernah menghadiahkan gelaran Euro 2020, kejayaan terbesar negara itu dalam tempoh lebih sedekad.

Bagaimanapun, landskap bola sepak Itali berubah apabila juara dunia empat kali itu gagal layak ke tiga Piala Dunia berturut turut termasuk edisi 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Pada April lalu, Gennaro Gattuso meninggalkan jawatan ketua jurulatih selepas kekalahan dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Bosnia dan Herzegovina.

Sejak itu, tugas mengendalikan skuad senior dipikul Silvio Baldini yang dinaikkan daripada pasukan bawah 21 tahun sebagai penyelesaian sementara.

Walaupun berjaya membantu Al Sadd menjulang kejuaraan Liga Qatar, Mancini gagal membawa kelab itu mara ke separuh akhir Liga Juara Juara Asia Elite selain tewas dalam final Piala Qatar.

Kini, tumpuan terarah kepada sama ada arkitek kejayaan Euro 2020 itu mampu menghidupkan semula harapan Itali yang sedang bergelut mencari semula identiti mereka di pentas antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top