Qatar cipta sejarah, raih mata pertama Piala Dunia, ikat Switzerland 1-1

Qatar cipta sejarah, raih mata pertama Piala Dunia, ikat Switzerland 1-1

Santa Clara: Boualem Khoukhi muncul wira Qatar apabila jaringan lewatnya memastikan negara Asia itu meraih mata pertama dalam sejarah penampilan mereka di Piala Dunia selepas mengikat Switzerland 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, awal pagi tadi.

Switzerland yang dilihat lebih dominan hampir sepanjang perlawanan tampak berada di landasan tepat untuk memulakan kempen dengan kemenangan sebelum dihukum pada saat akhir.

Breel Embolo meletakkan pasukan Eropah itu di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-17 selepas penjaga gol Qatar, Mahmoud Abunada, mengasari Remo Freuler di dalam kotak penalti.

Jaringan itu hadir selepas semakan panjang apabila terdapat keraguan sama ada Freuler berada dalam kedudukan ofsaid sebelum insiden berkenaan berlaku.

Qatar yang hanya membuat penampilan kedua di pentas Piala Dunia selepas menjadi tuan rumah pada 2022 dilihat bergelut untuk mencari rentak apabila aksi menentang Switzerland itu hanyalah perlawanan ketiga mereka sejak Disember tahun lalu.

Dua aksi pemanas badan mereka sebelum kejohanan turut dibatalkan susulan konflik di Asia Barat, sekali gus menjejaskan persiapan skuad kendalian Julen Lopetegui.

Switzerland menguasai permainan dengan menghasilkan 26 percubaan ke arah pintu gol, namun kegagalan memanfaatkan peluang akhirnya memakan diri.

Ketika tiga mata seakan menjadi milik mereka, Khoukhi yang berusia 35 tahun meledak gol penyamaan menerusi tandukan pada minit ke-90+4 untuk mencetuskan kegembiraan luar biasa di bangku simpanan Qatar.

Keputusan itu bukan sahaja menghadiahkan mata sulung Qatar di pentas Piala Dunia, malah turut mencatat detik istimewa buat Lopetegui yang akhirnya merasai pengalaman pertama membimbing pasukan di kejohanan terbesar dunia selepas impiannya bersama Sepanyol pada 2018 musnah apabila dipecat hanya beberapa hari sebelum sepak mula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top