am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Isu keselamatan di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan bukan sekadar masalah kerosakan jalan biasa malah ia turut membabitkan kegagalan reka bentuk infrastruktur yang tidak lagi relevan dengan kelajuan jentera moden.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua menjelaskan bahawa reka bentuk terowong sedia ada telah mewujudkan titik buta kepada penunggang.
Beliau berkata, peralihan cahaya secara drastik dari kawasan luar yang terang ke dalam kawasan terowong yang gelap memberikan kesan kesukaran penglihatan serta-merta yang sangat berbahaya.
“Kerja tampalan jalan setinggi dua hingga tiga sentimeter di sepanjang laluan itu sudah cukup untuk memberikan daya tolakan ke atas tayar hadapan motosikal.
“Ini menyebabkan motosikal akan mudah hilang cengkaman terutamanya ketika pengguna membrek secara mengejut bagi mengelak lubang atau halangan,” katanya.
Kenyataan mengenai masalah infrastruktur lapuk itu turut disokong oleh Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi yang mendedahkan terowong berkenaan pada asalnya bukan direka untuk kegunaan motosikal.
“Kalau zaman dahulu, laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan ini sebenarnya adalah jalan basikal dan jurutera sendiri mengakui ia bukan spesifikasi untuk laluan motor. Keadaan fizikal laluan itu bertambah bahaya apabila penutup longkang atau grating besi dibiarkan tenggelam sedikit daripada permukaan jalan asal,” katanya.
Lando turut membangkitkan kebimbangan mengenai ancaman jenayah dan kemalangan apabila kebanyakan kawasan terowong di sepanjang jajaran itu masih gagal diterangi dengan baik.
“Banyak kawasan terowong kekal gelap kerana isu kabel dicuri yang masih berlarutan sehingga menyebabkan penunggang dihantui rasa takut setiap kali melaluinya. Justeru, mohon ada pertimbangan budi bicaralah kepada penunggang terutamanya golongan wanita yang terpaksa melalui laluan utama Lebuhraya Persekutuan pada waktu malam. Pihak penguat kuasa tidak perlulah mengeluarkan saman kepada penunggang yang terpaksa mengambil langkah sedemikian semata-mata mahu menyelamatkan nyawa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




