SHAH ALAM – Perpecahan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpotensi menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sebagai pilihan raya paling terbuka dan sukar diramal.
Keadaan ini berlaku ketika tiada satu gabungan politik benar-benar dominan, sekali gus undi Melayu yang selama ini menjadi penentu utama pilihan raya semakin berpecah kepada beberapa pusat kuasa.
Proses pembentukan gabungan dan penjajaran politik baharu juga masih belum selesai.
Pihak yang paling berpotensi mendapat manfaat daripada perpecahan ini mungkin bukan daripada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) semata-mata, sebaliknya kelebihan terbesar akan berpihak kepada mana-mana gabungan yang berjaya muncul sebagai pusat penyatuan baharu politik Melayu.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, gabungan yang mampu menyatukan semula undi Melayu, menawarkan kepimpinan yang diyakini serta mengurangkan perpecahan politik berkemungkinan mempunyai laluan paling cerah untuk membentuk kerajaan selepas PRU16.
“Saya berpandangan tempoh enam hingga 12 bulan akan datang bakal menjadi fasa penentuan. Siapa yang berjaya mengisi ruang kosong yang ditinggalkan oleh perpecahan Pas-Bersatu berkemungkinan besar akan menentukan siapa yang bakal menguasai Putrajaya selepas PRU16,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau juga menjangkakan kemunculan empat blok politik utama pada PRU16 dengan blok pertama iaitu PH yang diterajui oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama parti-parti komponen sedia ada.
Blok kedua ialah BN yang mungkin bergerak secara lebih bebas atau membentuk kerjasama strategik dengan Pas dan kumpulan politik Melayu baharu, manakala blok ketiga ialah Pas yang berpotensi menjadi teras kepada sebuah gabungan Melayu-Islam baharu yang lebih luas selepas berakhirnya kerjasama dengan Bersatu.
“Blok keempat ialah Bersatu bersama kelompok yang masih setia kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin serta parti-parti kecil yang mencari ruang politik baharu. Namun, jika proses rundingan politik berjaya berlaku sebelum PRU16, empat blok ini boleh mengecil kepada tiga blok melalui beberapa bentuk persefahaman pilihan raya,” jelasnya.

Infografik senario politik PRU16
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan pula berpandangan, persaingan pada PRU16 akan membawa kepada persaingan di antara parti yang memutuskan untuk bergerak secara solo iaitu Pas, Bersatu, PH, BN dan Parti Bersama.
Melihat kepada senario gabungan, beliau berpandangan bahawa PH masih lagi mengekalkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri sementara Timbalan Perdana Menteri (TPM) berkemungkinan sama ada daripada DAP atau Amanah.
“Jika calon dari PKR sekalipun, mungkin Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan diangkat. Kelebihan PH adalah mereka mempunyai barisan atau line up yang boleh diletakkan. Dalam erti kata lain, mereka memiliki ramai calon yang berpotensi, sama ada dari PKR, DAP atau Amanah.
“Situasi ini juga sama seperti di dalam BN, UMNO. Cuma yang menjadi persoalan adalah sejauh manakah calon-calon untuk PM dan TPM dari Pas dan Bersatu boleh diketengahkan kerana semenjak kedua-dua parti itu terputus hubungan, agak sukar untuk mereka bersepakat meletakkan calon.
“Lebih-lebih lagi apabila Bersatu juga dilanda krisis perpecahan yang agak kritikal. Ini menyukarkan lagi parti itu untuk mengenal pasti bakat yang boleh diketengahkan,” katanya.
Pada masa sama, beliau tidak melihat bahawa calon Perdana Menteri semata-mata boleh menjadi pemberat utama dalam persoalan mempengaruhi undi kerana trend semasa adalah identifikasi kepartian dan bentuk-bentuk naratif yang bakal berbangkit.
“Perlu diingatkan bahawa isu hangat pada waktu ini adalah perdebatan mengenai ekonomi serta kos sara hidup dan posisi serta kedudukan orang Melayu dan Islam. Jika parti-parti yang bersaing mampu untuk mempengaruhi pengundi dengan menjuarai isu-isu tersebut, maka tidak mustahil parti tersebut boleh mendominasi,” ujar beliau.
Bagaimanapun, beliau melihat kemungkinan persaingan pelbagai parti ini bakal melorongkan jalan kepada situasi tergantung seperti yang berlaku selepas PRU15 di mana tidak terdapat mana-mana gabungan yang memiliki jumlah yang dominan dan akhirnya memaksa mereka untuk bermuafakat dan membentuk gabungan.



