Kansas City: England terus ditimpa nasib malang pada Piala Dunia apabila chef pasukan mereka dihalang menaiki kereta api kerana membawa pisau memasak.
Mereka sebelum ini berdepan insiden malang apabila kasut, bola dan beberapa peralatan latihan mereka dicuri daripada sebuah van kurier yang membawa kelengkapan pasukan dari Florida ke Kansas City yang menjadi pangkalan mereka sepanjang kejohanan.
Kini satu lagi masalah didedahkan apabila chef pasukan itu dihalang daripada menaiki kereta api dari West Palm Beach ke Orlando sebelum perlawanan persahabatan yang menyaksikan England menewaskan Costa Rica 3-0 pada Rabu.
Difahamkan, chef berkenaan tanpa sedar mencetuskan penggera pengesan logam di stesen terbabit.
Beliau kemudian dimaklumkan bahawa pisau yang dibawanya tidak dibenarkan berada di dalam kereta api dan perlu menaiki tren tanpa peralatan berkenaan.
Pengendali perkhidmatan kereta api, Brightline, melarang penumpang membawa sebarang bentuk senjata.
England bagaimanapun tidak mahu terganggu dengan gangguan di luar padang sehingga menjejaskan fokus mereka dan tiba di pusat latihan di Kansas City lewat petang Sabtu.
Mereka turut mengadakan sesi latihan terbuka di hadapan penyokong tempatan sempena program komuniti di kemudahan Swope Soccer Village.
Sesi itu berlangsung di padang utama yang dikenali sebagai ‘Victory Field’ yang diharapkan menjadi petanda bahawa tuah England akan mula berubah.
‘The Three Lions’ akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Croatia di Dallas, Rabu ini.
Walaupun persiapan mereka berdepan pelbagai cabaran namun, England tetap mencatat kemenangan 3-0 ke atas Costa Rica dalam aksi pemanas badan terakhir mereka.
Seminggu sebelum itu, skuad kendalian Thomas Tuchel menewaskan New Zealand 1-0.
Ketika menjalani kem latihan di West Palm Beach, anak buah Tuchel turut membelasah kelab divisyen kedua Amerika Syarikat (AS), Miami FC dengan keputusan 6-0.
© New Straits Times Press (M) Bhd




