aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (POWP) terus memperkukuh pembangunan sukan olahraga di peringkat akar umbi apabila membuka peluang kepada kanak-kanak seawal usia tiga tahun menyertai program pembangunan yang diadakan hari ini.
Program yang menghimpunkan 1,600 peserta dari seluruh negara termasuk Singapura itu membabitkan Program Pembangunan POWP/MSWP/MILO 2026 bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 15 tahun serta Program Pembangunan Kids Athletics untuk peserta berusia tiga hingga enam tahun.
Inisiatif itu dilihat sebagai langkah awal dalam membentuk asas pergerakan, keyakinan diri dan minat terhadap sukan dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
Presiden POWP, Dato Seri Dr V Pulainthiran berkata, pengenalan program untuk kanak-kanak seawal usia tiga tahun adalah satu pendekatan jangka panjang bagi memastikan pembangunan atlet bermula lebih awal.
“Kami mahu memberi pendedahan kepada kanak-kanak pada usia muda supaya mereka dapat membina kemahiran pergerakan asas, meningkatkan keyakinan diri dan memupuk minat terhadap sukan.
“Pendekatan ini juga membantu mewujudkan asas yang lebih kukuh untuk pembangunan atlet pada masa depan serta proses pencarian bakat baharu,” katanya.
Menurutnya, persatuan turut berharap program berkenaan dapat menarik lebih ramai ibu bapa menggalakkan anak mereka terbabit dalam aktiviti sukan dan gaya hidup aktif.
Katanya, dalam era digital ketika ini, ramai kanak-kanak menghabiskan masa dengan gajet dan peranti elektronik, justeru program seperti itu mampu menawarkan alternatif yang lebih sihat.
“Kami mahu kanak-kanak aktif secara fizikal, belajar berinteraksi dengan rakan-rakan, selain membentuk disiplin dan semangat berpasukan.
“Pada masa sama, mereka dapat mengembangkan minat terhadap olahraga dan membina tabiat sihat yang boleh diamalkan sepanjang hayat,” katanya.
Dalam usaha memastikan pembangunan bakat muda terus berjalan, POWP membelanjakan antara RM60,000 hingga RM70,000 bagi setiap program pembangunan yang dianjurkan.
Secara purata, lima hingga enam program pembangunan diadakan setiap tahun dengan kos berkenaan meliputi kejurulatihan, peralatan, kemudahan venue, pengurusan program, sokongan atlet dan keperluan operasi lain.
Pulainthiran berkata, pelaburan itu penting bagi memastikan atlet muda menerima peluang serta pendedahan yang diperlukan untuk mengembangkan potensi mereka ke tahap lebih tinggi.
Kejohanan keseluruhan pula membabitkan peserta berusia tujuh hingga 15 tahun, manakala kategori pembangunan khas diperkenalkan untuk kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun sebagai platform pendedahan awal kepada sukan olahraga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




