Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tampil memberikan respons terhadap kenyataan balas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung isu jemputan ke program KTM Komuter Selatan.
Terima kasih sudi terima jemputan
Menerusi satu hantaran di media sosial, Anthony mengucapkan terima kasih kepada Onn Hafiz atas kesudian menerima jemputannya untuk menaiki KTM Komuter Selatan sambil menyenaraikan beberapa program dan majlis rasmi Kementerian Pengangkutan (MOT) yang pernah dihadiri Menteri Besar Johor itu sebelum ini.
Ingatkan semula beberapa kali pertemuan
Menurut Anthony, beliau mahu mengingatkan semula beberapa majlis penting yang turut disertai Onn Hafiz termasuk projek RTS Link, ketibaan tren pertama RTS Link di Singapura, pelancaran khas ETS3 dan perasmian Stesen KTM Kluang serta pelancaran perkhidmatan ETS sehingga ke Johor Bahru.
“Terima kasih YAB Dato’ Onn Hafiz atas kenyataan balas yang begitu panjang lebar dan kesudian YAB menerima jemputan saya untuk menaiki KTM Komuter Selatan.
Izinkan saya “refresh” ingatan YAB beberapa majlis MOT yang turut dihadiri oleh YAB sendiri atau EXCO Kerajaan Negeri Johor:
11 Januari 2024 — Majlis RTS Link yang disaksikan oleh PM Malaysia dan PM Singapura. YAB sendiri hadir.
30 Jun 2025 — Majlis menerima ketibaan tren pertama RTS Link di Singapura oleh kedua-dua Menteri Pengangkutan Malaysia dan Singapura. YAB sendiri hadir.
23 Ogos 2025 — Pelancaran khas ETS3 dan Majlis Perasmian Stesen KTM Kluang oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong. YAB sendiri hadir.
11 Disember 2025 — Majlis Penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Gemas ke Johor Bahru dan Pelancaran ETS sehingga JB. YAB sendiri hadir.
11 Mei 2026 — Majlis Peluncuran MyLesenB2 untuk pelajar sekolah di JB, dah jemput, tapi TIADA wakil Kerajaan Negeri hadir,” tulisnya.

“Mungkin ada benda yang terlupa”
Dalam hantaran yang sama, Anthony turut menyenaraikan beberapa program lain yang dihadiri wakil Kerajaan Negeri Johor dan menjelaskan terdapat perbezaan antara lawatan kerja serta majlis rasmi kementerian.
“Saya faham musim pilihan raya memang sibuk. Mungkin ada benda yang terlupa.
Lagipun, ada perbezaan antara lawatan kerja dengan majlis rasmi. Kalau setakat lawatan kerja saya, saya tak nak ganggu masa YAB MB,”

Beliau pada masa sama memaklumkan surat jemputan rasmi akan dihantar dalam masa terdekat dan berharap dapat bertemu Onn Hafiz pada program KTM Komuter Selatan yang dijadual berlangsung di Kulai.
Anthony turut menyentuh mengenai sesi percubaan atau ‘dry run’ Komuter Selatan yang pernah disertai Exco Pengangkutan Johor sebelum projek itu dimuktamadkan.
“P.S.
3 Mac 2026 — Exco Pengangkutan Johor sendiri sudah pun naik tren untuk “dry run” Komuter Selatan walaupun belum dimuktamadkan pada ketika itu. Tak maklum MOT pun tapi saya tak melatah,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Onn Hafiz telah membuat kenyataan memaklumkan dirinya bersedia untuk menaiki komuter bersama-sama Menteri Pengangkutan berkenaan, namun belum ada sebarang jemputan rasmi daripada pihak Anthony.
Sumber: Facebook Anthony Loke Siew Fook




