SHAH ALAM – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengemukakan surat jemputan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam masa terdekat bagi menghadiri majlis pelancaran perkhidmatan KTM Komuter Selatan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, majlis perasmian KTM Komuter yang bakal beroperasi menggunakan set tren sedia ada untuk laluan Kulai-Johor Bahru itu berlangsung pada Selasa depan.
“Surat jemputan akan sampai dalam kadar segera, jumpa Selasa nanti di Kulai ya… pihak kami (MOT) juga akan jemput untuk beri sedikit ucapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Kenyataan Anthony itu difahamkan sebagai respons terhadap Onn Hafiz yang mendakwa, sehingga kini belum menerima sebarang surat jemputan rasmi atau butiran lanjut daripada MOT berhubung majlis pelancaran tersebut.
Pada Sabtu, Onn Hafiz mendakwa, beliau hanya dimaklumkan mengenai jemputan tersebut menerusi laporan media yang memetik kenyataan Anthony sewaktu berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya (PH) Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Menerusi hantaran sama, Anthony menyatakan penghargaan kepada Onn Hafiz atas kesudian menerima jemputannya untuk menaiki KTM Komuter Selatan sebelum ini.
Ahli Parlimen Seremban itu turut mengimbau kembali beberapa majlis melibatkan MOT yang dihadiri sendiri oleh Onn Hafiz.
Menurut beliau, program dimaksudkan ialah RTS Link yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada Januari 2024, selain majlis menerima ketibaan tren pertama RTS Link di Singapura (Jun 2025).
Tambahnya, Onn Hafiz juga pernah menghadiri pelancaran khas ETS3 dan perasmian Stesen KTM Kluang oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Ogos 2025, selain majlis Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru dan pelancaran perkhidmatan ETS ke Johor Bahru, Disember tahun sama.
Anthony memaklumkan, Onn Hafiz turut menghadiri Majlis Penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru serta pelancaran perkhidmatan ETS ke Johor Bahru pada 11 Disember 2025.
Namun kata beliau, tiada wakil Kerajaan Negeri Johor hadir pada Majlis Peluncuran Program MyLesenB2 untuk pelajar sekolah di Johor Bahru pada 11 Mei 2026, meskipun surat jemputan dikemukakan lebih awal.
Terdapat juga beberapa program dan majlis anjuran MOT yang dihadiri wakil Menteri Besar serta Kerajaan Negeri Johor.
Antaranya, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park pada September 2023, lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Abu Bakar (KSAB) (Januari 2024) serta pembukaan semula landasan Pasir Gudang-Kempas Baru (Mei 2025).
Bagaimanapun, Anthony berkata, beliau memahami kesibukan Menteri Besar Johor ketika musim pilihan raya dan tidak menolak kemungkinan terdapat perkara yang terlepas pandang.
“Lagipun, ada perbezaan antara lawatan kerja dengan majlis rasmi. Kalau setakat lawatan kerja, saya tak nak ganggu masa Menteri Besar.
“Pada 3 Mac lalu, Exco Pengangkutan Johor sendiri sudah pun naik tren untuk ‘dry run’ Komuter Selatan walaupun belum dimuktamadkan ketika itu. Tak maklum MOT pun tapi saya tak melatah,” ujarnya lagi.



