‘Harap parti baharu tidak pecah belah Melayu’- Ahmad Zahid

‘Harap parti baharu tidak pecah belah Melayu’- Ahmad Zahid
‘Harap parti baharu tidak pecah belah Melayu’- Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tengah) menghadiri Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Penubuhan parti politik Melayu baharu dialu-alukan, namun kewujudannya diharap tidak akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana individu atau tokoh yang ingin menubuhkan parti politik baharu dialu-alukan selagi usaha tersebut mampu menyatupadukan pemikiran dan perjuangan orang Melayu.

“Apapun wadah yang digunakan apabila akhirnya kita dapat menyatukan, tindakan kita atas agenda negara, agenda Islam dan agenda anak bangsa kita, Insya-ALLAH.

“Dukungan akan dapat kita berikan…kerana kita juga telah bersama-sama untuk bertemu dalam wacana ataupun perbincangan melalui kolaborasi nasional yang telah kita adakan,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, perbezaan pemikiran diharap dapat diterjemah dalam bentuk agenda nasional, agenda Islam dan agenda anak bangsa dengan mengenepikan mana-mana kaum serta agama lain.

Ujar beliau, menerusi inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan UMNO sudah berjaya mewujudkan perpaduan nasional.

Pada Sabtu, Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa gerakan itu akan bergerak di bawah sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama pelbagai blok di negara ini.

Scroll to Top