Empat termasuk kanak-kanak berusia setahun maut kereta dihempap treler di LPT

Empat termasuk kanak-kanak berusia setahun maut kereta dihempap treler di LPT

BENTONG: Empat individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah treler membawa muatan habuk kayu dalam kemalangan di Kilometer 43.2, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Karak di sini hari ini.

Mangsa yang maut, A. Halim Hasoon, 55, isterinya, Rozita Buang, 58, anak perempuan mereka, Norbahyah A. Halim, 26, serta cucu perempuan, Nayla Afya Aizat berusia setahun.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan selepas berjaya dikeluarkan daripada kereta jenis Honda City yang remuk teruk akibat dihempap treler terbabit.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu membabitkan sebuah kereta jenis Honda City dan treler yang menyebabkan kesemua empat mangsa dalam kereta terbabit tersepit.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira pukul 5.15 petang dan mendapati terdapat empat mangsa menaiki Honda City tersepit dalam kenderaan manakala pemandu lori treler cedera.

“Kerja-kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pemandu treler berusia 40 tahun mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut.

Mohd. Salahuddin berkata, operasi menyelamat berdepan cabaran besar apabila struktur kereta mangsa berada di bawah himpitan treler menyebabkan anggota bomba memerlukan bantuan jentera berat.

“Kita mendapatkan bantuan sebuah jentera berat jenis shovel milik pihak LPT untuk mengangkat treler bagi membolehkan mangsa dikeluarkan. Operasi ini turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Elektrik Solar Janda Baik melibatkan anggota dan aset bantuan,” katanya.

Menurutnya, operasi berjaya dikawal pada pukul 6.12 petang dan ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 6.33 petang. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis. – UTUSAN

Scroll to Top