am@hmetro.com.my
Kuantan: Empat individu termasuk seorang bayi maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 43 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, petang tadi.
Mangsa membabitkan seorang lelaki, dua wanita dan seorang bayi berusia setahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam nahas kira-kira jam 4.25 petang itu.
Rakaman video dan gambar tular di media sosial menunjukkan treler berkenaan terbalik di pembahagi jalan dengan sebuah kereta dihempap di bawahnya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang sebelum lima anggota bomba dikejarkan ke lokasi.
“Kemalangan membabitkan sebuah Honda City dinaiki empat individu dan sebuah treler membawa habuk kayu. Semua mangsa berusia antara setahun hingga 58 tahun terperangkap dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
“Pemandu lori berusia 40 tahun cedera. Sebuah jengkaut digunakan bagi mengangkat treler dan mengeluarkan mangsa dari kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat semua mangsa diserahkan kepada polis, manakala pemandu lori yang cedera dihantar ke hospital dengan ambulans. Operasi tamat pada jam 6.30 petang.
Identiti keempat-empat mangsa dan hubungan mereka masih belum dikenal pasti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




