Piala Dunia 2026: Iran terima sokongan meriah sebelum aksi pembukaan bertemu New Zealand

Piala Dunia 2026: Iran terima sokongan meriah sebelum aksi pembukaan bertemu New Zealand

Tijuana: Skuad kebangsaan Iran menerima kiriman semangat luar biasa apabila diiringi sorakan ratusan penyokong ketika meninggalkan kem latihan mereka di Tijuana, Mexico menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026 menentang New Zealand di Los Angeles, esok.

Penyokong memenuhi kaki lima di luar hotel penginapan pasukan dengan laungan ‘Team Melli’ yang membawa maksud pasukan kebangsaan dalam bahasa Parsi ketika para pemain berjalan menuju ke bas pasukan.

Ramai pemain melambai dan melemparkan senyuman kepada penyokong, manakala beberapa anggota delegasi sempat merakam suasana penuh emosi itu menggunakan telefon bimbit mereka.

Seorang penyokong turut mengangkat sepanduk berwarna kuning yang tertera tulisan ‘Iran, anda tidak akan bersendirian. Mexico berdiri bersama anda.’

Turut mencuri perhatian ialah seorang kanak kanak yang berada di atas bahu seseorang sambil memegang album pelekat rasmi Panini Piala Dunia 2026 yang dibuka pada halaman skuad Iran.

Pada satu ketika, orang ramai turut menyanyikan lagu dalam bahasa Sepanyol yang berbunyi ‘Iran, saudara, kini anda orang Mexico’.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj turut berada di luar hotel bagi mengiringi pemergian pasukan, dengan sebahagian penyokong terus mengekori bas pasukan sehingga ia meninggalkan kawasan berkenaan.

Iran dijadual berdepan New Zealand dalam aksi Kumpulan G di Stadium Los Angeles dalam suasana yang turut dibayangi konflik geopolitik semasa.

Jurulatih Amir Ghalenoei bersama penyerang utama Mehdi Taremi dijadual menghadiri sidang media menjelang perlawanan itu.

Pada masa sama, beberapa anggota komuniti Iran Amerika di Los Angeles merancang mengadakan perhimpunan aman berhampiran stadium bagi membantah dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh kerajaan Iran.

Iran sebelum ini memindahkan kem latihan Piala Dunia mereka dari Arizona ke Mexico selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran bermula penghujung Februari lalu.

Aksi menentang New Zealand itu bakal menjadi pertemuan pertama antara kedua dua negara di pentas Piala Dunia dan berlangsung dalam suasana yang cukup beremosi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top