Penyanyi Oliver Tree maut nahas dua helikopter di Brazil

Penyanyi Oliver Tree maut nahas dua helikopter di Brazil
Penyanyi Oliver Tree maut nahas dua helikopter di Brazil

Keadaan di lokasi nahas selepas dua helikopter bertembung di udara sebelum terhempas di Rio de Janeiro, mengorbankan enam individu termasuk Oliver Tree (gambar kecil). Foto: AFP

RIO DE JANEIRO – Penyanyi dan penulis lagu kelahiran California, Oliver Tree yang terkenal menerusi lagu seperti Life Goes On, When I’m Down dan Miss You dilaporkan maut selepas dua helikopter bertembung di udara sebelum terhempas di Brazil pada Ahad.

Menurut sumber polis kepada AFP, Tree, 32, berada dalam salah sebuah helikopter yang terlibat dalam nahas tersebut yang mengorbankan kesemua enam individu di dalam kedua-dua pesawat berkenaan.

Bagaimanapun, polis memaklumkan proses pengecaman rasmi mangsa masih belum dapat dilakukan kerana mayat mereka rentung teruk akibat kebakaran selepas perlanggaran itu.

Nahas berlaku di kawasan Recreio dos Bandeirantes di bahagian barat Rio de Janeiro sebelum kedua-dua helikopter menjunam ke kawasan parkir sebuah pusat jualan kenderaan elektrik dan menyebabkan kira-kira 20 kereta terbakar.

Salah sebuah helikopter membawa lima penumpang termasuk Tree, manakala sebuah lagi hanya dinaiki juruterbang.

Turut berada dalam pesawat yang sama termasuklah seorang penerbit muzik Brazil, pengarah video dari Argentina dan YouTuber Argentina, Gaspar Prim atau lebih dikenali sebagai Gaspi.

Tree yang terkenal menerusi lagu popular seperti Life Goes On, Miss You dan Alien Boy mempunyai lebih 11 juta pendengar bulanan di Spotify, dengan karya-karyanya mencatat ratusan juta kali pendengaran di platform penstriman itu.

Dalam beberapa hari sebelum nahas, akaun Instagram miliknya masih memaparkan video ketika berada di Brazil sempena siri jelajah konsert yang melibatkan lebih 30 negara.

Persembahan seterusnya dijadual berlangsung di Lisbon, Portugal pada 1 Julai depan.

Jurucakap pasukan bomba, Leftenan Kolonel Fabio Contreiras berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan kerana serpihan pesawat bertaburan sejauh ratusan meter dari lokasi nahas.

Beliau berkata, pasukan penyelamat menemui sebuah helikopter yang terbakar dengan lima mangsa di dalamnya, manakala sebuah lagi yang ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi pertama hanya membawa juruterbang yang turut maut.

Scroll to Top