JBPM bersiap siaga sepenuhnya hadapi El Nino hingga awal 2027

JBPM bersiap siaga sepenuhnya hadapi El Nino hingga awal 2027

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi kemungkinan peningkatan risiko bencana susulan fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya yang dijangka mempengaruhi keadaan cuaca negara sehingga awal tahun 2027.

JBPM berkata, dengan jangkaan cuaca lebih panas dan kering daripada kebiasaan serta pengurangan taburan hujan, JBPM menggerakkan persediaan operasi, logistik dan koordinasi antara agensi secara menyeluruh bagi memastikan keupayaan respons kekal berada pada tahap optimum dalam melindungi keselamatan rakyat serta harta benda.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa seluruh keanggotaan dan aset jabatan kini berada dalam fasa kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi sebarang risiko kebakaran terbuka termasuk kebakaran hutan dan tanah gambut yang lazimnya meningkat sepanjang tempoh cuaca panas dan kering.

“Bagi memastikan tindakan yang tersusun dan respons yang pantas di lapangan, Arahan Persediaan Jabatan Menghadapi Musim Kemarau dan Kebakaran Hutan Gambut Tahun 2026 telah dikeluarkan sebagai mandat rasmi untuk JBPM Negeri melaksanakan langkah-langkah persediaan serta tindakan luar jangka secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, menerusi arahan itu, operasi pemantauan dan tindakan pencegahan dipertingkat melalui rondaan berkala di kawasan titik panas (hotspot) berdasarkan data sejarah kejadian kebakaran.

“Pada masa sama, kedudukan dan kefungsian infrastruktur kritikal seperti ‘tube well,’ ‘water check dam’ dan ‘watch tower’ turut dikenal pasti serta dipastikan berada dalam keadaan optimum bagi menyokong keberkesanan operasi pemadaman sekiranya berlaku insiden.

“JBPM turut memperkukuh koordinasi strategik bersama agensi berkaitan bagi memastikan kesiapsiagaan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

“Antara langkah yang dilaksanakan termasuk penyelarasan bersama SWCorp bagi pengurusan risiko kebakaran tapak pelupusan sampah, penggunaan pam berkapasiti tinggi bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pemeriksaan kefungsian water check dam bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), serta pemantauan kawasan berisiko tinggi bersama Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Katanya, sebagai langkah tambahan, JBPM bersedia mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu dan Pembakaran Terbuka sekiranya berlaku peningkatan panggilan kecemasan melebihi paras kebiasaan bagi membolehkan tindakan operasi diselaras dengan lebih berkesan.

“Dari sudut kesiapsiagaan logistik pula, JBPM memastikan semua jentera dan peralatan pemadaman berada dalam keadaan siap siaga termasuk penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) serta pengukuhan pelan komunikasi operasi menggunakan sistem Government Integrated Radio Network (GIRN).

“Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan awam sentiasa berada pada tahap optimum, JBPM akan terus memantau indikator titik panas dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui platform digital agensi rakan strategik termasuk Malaysia Space Agency (MySA), Jabatan Alam Sekitar (JAS), aplikasi myCuaca serta sistem Fire Danger Rating System (FDRS) oleh MET Malaysia.

“JBPM turut menyeru orang ramai supaya menggunakan sumber air secara berhemah, mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka serta segera melaporkan sebarang insiden kebakaran kepada talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan awal dilaksanakan sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

Tambahnya, kesiapsiagaan menghadapi perubahan cuaca dan bencana bukan semata-mata bergantung kepada tindakan agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kerjasama seluruh lapisan masyarakat bagi memastikan keselamatan komuniti serta kelestarian alam sekitar dapat terus dipelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top