KPDN gesa syarikat pengangkutan darat barangan awam Sabah, Sarawak dan Labuan segera daftar SKDS

KPDN gesa syarikat pengangkutan darat barangan awam Sabah, Sarawak dan Labuan segera daftar SKDS

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa semua syarikat pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah, Sarawak serta Labuan yang layak supaya segera mendaftarkan kenderaan mereka di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan terus menikmati subsidi diesel kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendaftaran segera amat penting memandangkan penggunaan wajib kad fleet SKDS bagi mendapatkan subsidi diesel akan dikuatkuasakan pada tarikh yang bakal diumumkan kelak.

“Jangan tunggu hingga saat akhir. Semua syarikat yang layak perlu membuat permohonan segera kerana selepas pelaksanaan wajib SKDS nanti, subsidi diesel hanya boleh dinikmati melalui mekanisme kad fleet.

“Ini penting bagi memastikan kenderaan yang tersenarai di bawah 33 kategori kenderaan layak terus menerima subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, pendaftaran SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan sudah dibuka sejak 4 Mei lalu, manakala sektor pengangkutan darat awam menikmati kemudahan subsidi melalui sistem itu sejak Jun 2024.

Memperincikan perkara terbabit, sebanyak 8,060 syarikat membabitkan 29,631 kenderaan di ketiga-tiga wilayah berkenaan sudah berdaftar di bawah SKDS sehingga semalam.

“Di Sabah, sebanyak 3,922 syarikat membabitkan 14,415 kenderaan sudah didaftarkan, manakala Sarawak merekodkan 3,869 syarikat dengan 14,447 kenderaan.

“Labuan pula membabitkan 269 syarikat dan 769 kenderaan. Jumlah ini menunjukkan sambutan yang baik, namun masih terdapat syarikat yang layak belum membuat pendaftaran,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sudah mempermudahkan proses permohonan menerusi portal MySubsidi yang diintegrasikan dengan pelbagai sistem agensi berkaitan bagi membolehkan kelulusan diberikan dengan lebih pantas.

Katanya, peluasan SKDS ke Sabah, Sarawak dan Labuan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan penyaluran subsidi diesel secara digital bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar.

“Dengan adanya mekanisme kad fleet, kita dapat memastikan subsidi disalurkan kepada syarikat yang benar-benar layak selain mengekang ketirisan melalui penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan oleh pihak yang tidak berhak termasuk warga asing dan pendatang tanpa izin,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, pihaknya membelanjakan sebanyak RM2 bilion bagi subsidi diesel di Sabah dan Sarawak sepanjang tahun lalu, manakala jumlah perbelanjaan subsidi terus meningkat tahun ini susulan krisis tenaga global akibat konflik Asia Barat.

Menurutnya, subsidi diesel bagi kedua-dua wilayah itu berjumlah RM103 juta pada Januari dan RM106 juta pada Februari tahun ini, namun melonjak kepada RM563 juta pada Mac dan RM647 juta pada April.

“Secara keseluruhannya, subsidi diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sudah mencecah RM1.4 bilion.

“Kerajaan akan terus menanggung kos subsidi ini selagi harga minyak dunia kekal tinggi, namun pada masa sama kita perlu memastikan dana awam diurus secara berhemah dan tidak berlaku ketirisan,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan kerajaan kekal komited menyalurkan subsidi diesel secara bersasar kepada rakyat dan industri sebagai langkah menangani peningkatan kos sara hidup serta mengawal pergerakan harga barangan dan perkhidmatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top