Edar dadah guna kurier, Polis Kelantan jumpa pengendali perkhidmatan

Edar dadah guna kurier, Polis Kelantan jumpa pengendali perkhidmatan

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengadakan pertemuan dengan lebih 10 syarikat pengendali perkhidmatan kurier di negeri ini bagi membincangkan isu pengedaran dadah yang kini menggunakan khidmat mereka.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia bertujuan menerangkan modus operandi yang digunakan sindiket dadah supaya pengendali perkhidmatan tidak terjebak dengan kegiatan tersebut.

Katanya, antara langkah yang ditekankan ialah keperluan setiap syarikat kurier merekod maklumat lengkap penghantar termasuk nombor kad pengenalan dan nombor telefon bagi setiap penghantaran.

“Hal ini bagi memudahkan siasatan polis sekiranya terdapat kes pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya sukar mengesan maklumat sekiranya pengirim meletakkan barangan di cawangan kurier.

Katanya, setakat ini tiada lagi pengusaha syarikat kurier yang dikesan bersekongkol dengan sindiket dadah.

“Bagaimanapun, kita ada menahan pekerja syarikat kurier bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sindiket dadah dikesan menjadikan perkhidmatan kurier sebagai modus operandi terbaru mengedar bahan terlarang ke seluruh negara, termasuk ke Sabah dan Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia menjadi pilihan sindiket kerana ia dianggap lebih ‘selamat’ dan sukar dikesan.-UTUSAN

Scroll to Top