‘Dia baru dilantik, nasihat saya janganlah guna bahasa tak sopan’ – Nie Ching

‘Dia baru dilantik, nasihat saya janganlah guna bahasa tak sopan’ – Nie Ching

Semua pihak termasuk Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan bahasa ketika mengeluarkan kenyataan awam, khususnya agar tidak menggunakan ungkapan yang kasar.

Menurut laporan Harian Metro, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, nasihat tersebut bukan hanya tertumpu kepada individu tertentu sebaliknya melibatkan semua pihak supaya mengelakkan isu sensitif 3R (bangsa, agama dan institusi diraja) pada setiap masa, bukan sekadar ketika tempoh kempen.

“Saya rasa dia memang baru dilantik, tetapi nasihat saya adalah diharap janganlah guna pakai bahasa yang tak sopan dan kita elakkan isu-isu 3R bukan sahaja semasa kempen tetapi sepanjang masa.
“Saya percaya ini adalah satu amalan yang amat-amat diperlukan dan digalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada program Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed Trust and Impact – ‘An Industry Dialogue’, hari ini.

Foto: NSTP/NUR LIYANA MOHD NOORZALLY

Nie Ching berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan terhadap Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz, susulan beberapa kenyataan yang didakwa menggunakan bahasa kurang sesuai selepas pelantikannya.

Dalam masa sama, Nie Ching memaklumkan beliau masih belum berkesempatan bertemu Syam dan tidak pasti sama ada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sudah mengadakan pertemuan tersebut.

“Saya belum. Saya tak pasti sama ada Datuk Fahmi, Menteri Komunikasi sudah jumpa ataupun tidak kerana cuti hujung minggu. Cuti hujung minggu saya habiskan di Johor, jadi saya belum berjumpa dengan beliau,” ujarnya.

Sebelum ini, Syam yang mula memegang jawatan itu pada 8 Jun menerima kritikan selepas satu hantaran di media sosial yang dikatakan berunsur rasis.

Foto: FB Syam Ghaz

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan itu dan menegaskan istilah ‘Cina sesat’ yang digunakan tidak ditujukan kepada masyarakat Cina secara umum sebaliknya hanya merujuk kepada dua individu tertentu dan telah disalah tafsir.

Dalam penjelasan menerusi rakaman video, beliau berkata, hantaran Facebook berkenaan adalah respon terhadap kenyataan bekas pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To dan pendedah maklumat rasuah Albert Tei.

“Saya menegaskan bahawa hantaran asal di laman Facebook saya hanya sebagai respon balas kepada Eric See-To dan Albert Tei semata-mata.
“Perkara ini terbukti jelas dalam hantaran itu yang secara terang-terangan menyebut nama Lim Sian See dan Albert Tei, tanpa membabitkan mana-mana pihak lain,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro (Rafidah Mat Ruzki)

Scroll to Top