KPJ lancar perkhidmatan pemindahan buah pinggang pertama

KPJ lancar perkhidmatan pemindahan buah pinggang pertama

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melancarkan Perkhidmatan Pemindahan Buah Pinggang pertama dalam rangkaian hospitalnya menerusi Hospital Pakar Tawakkal (TSH), sekali gus memperluas akses pesakit kepada rawatan pemindahan organ yang berteknologi tinggi dan berkepakaran khusus.

Pelancaran perkhidmatan itu menandakan pencapaian penting dalam usaha kumpulan penjagaan kesihatan berkenaan memperkukuh keupayaan klinikal lanjutan di bawah KPJ Health System (KPJHS), khususnya bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir.

Inisiatif itu menyusuli kejayaan pelaksanaan prosedur pemindahan buah pinggang membabitkan penderma hidup yang mempunyai pertalian keluarga pada awal tahun ini, membuktikan kesiapsiagaan hospital dalam menyediakan rawatan pemindahan yang disokong oleh kepakaran pakar dan laluan klinikal yang tersusun.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pelancaran perkhidmatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk memperluas akses kepada rawatan berkeperluan tinggi serta mengukuhkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih kompleks dalam rangkaian hospital KPJ.

“Pemindahan buah pinggang memerlukan tadbir urus klinikal yang kukuh, kepakaran pakar serta pemantauan jangka panjang.

“Perkhidmatan ini menunjukkan bagaimana KPJ Health System menghimpunkan keupayaan terbabit untuk menyokong pesakit yang memerlukan rawatan lanjutan dan penjagaan berterusan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, berpandukan aspirasi Care for Life, pihaknya kekal komited membangunkan keupayaan yang menyokong pesakit di setiap peringkat perjalanan penjagaan kesihatan mereka.

Prosedur pemindahan itu dikendalikan oleh Pakar Perunding Urologi, Dr Norman Dublin dan Prof Dr Azad Hassan Abdul Razack bersama Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz, dengan sokongan pasukan pelbagai disiplin merangkumi pakar bius, radiologi, rawatan rapi, jururawat serta profesional kesihatan bersekutu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare, Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata, bagi pesakit yang sesuai dengan penyakit buah pinggang tahap akhir, pemindahan buah pinggang mampu meningkatkan kualiti hidup secara signifikan berbanding rawatan konvensional.

“Perkhidmatan ini membolehkan pesakit mendapatkan rawatan pemindahan yang menyeluruh dengan sokongan pasukan pakar sepanjang keseluruhan proses penjagaan,” katanya.

Bagi Pengarah Perubatan Hospital Pakar Tawakkal, Dr Nurhashim Haron berkata, pelancaran perkhidmatan berkenaan meneruskan legasi panjang hospital itu dalam bidang penjagaan buah pinggang.

Menurutnya, Hospital Pakar Tawakkal pernah terbabit dalam pelaksanaan prosedur pemindahan buah pinggang pada era 1980-an di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Dr Hussein Awang, pakar urologi dan pengasas bersama hospital yang melaksanakan pemindahan buah pinggang pertama di Malaysia pada 1975.

“Kami berbesar hati untuk meneruskan legasi ini dengan menyediakan perkhidmatan ini kepada generasi baharu pesakit,” katanya.

Perkhidmatan baharu itu disokong oleh pendekatan penjagaan bersepadu yang membabitkan bidang nefrologi, pembedahan pemindahan, anestesiologi, radiologi, rawatan rapi, kejururawatan, farmasi, dialisis, rehabilitasi, dietetik, perkhidmatan makmal serta penyelarasan pemindahan.

KPJ berkata, inisiatif berkenaan turut mencerminkan evolusi berterusan sistem penjagaan kesihatan kumpulan itu yang menggabungkan kepakaran klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi dalam memenuhi keperluan rawatan kesihatan yang semakin khusus, di samping memperluaskan akses pesakit kepada rawatan kompleks di seluruh rangkaian hospitalnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top