Bekalan mudah diperoleh, mahu tenaga bekerja antara alasan penagih ditahan AADK

Bekalan mudah diperoleh, mahu tenaga bekerja antara alasan penagih ditahan AADK

am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bekalan mudah diperoleh, ingin bertahan lama ketika bekerja selain mahu keseronokan antara alasan yang diberikan penagih selepas ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kebanyakan orang kena tuduh (OKT) yang ditahan adalah pekerja dalam sektor perikanan (laut) dan buruh binaan.

Menurutnya, mereka memberikan alasan bahawa pengambilan bahan terlarang adalah sebagai pemacu tenaga fizikal untuk menampung beban kerja berat dan tempoh bekerja yang panjang.

“Segelintir OKT juga memberikan alasan ‘bosan’ yang mencerminkan isu psikososial di mana individu menggunakan dadah sebagai ‘coping mechanism’ bagi mendapatkan keseronokan sementara atau menghilangkan tekanan rutin harian.

“Faktor persekitaran yang tidak sihat turut menjadi pemangkin utama. Apabila sesuatu lokaliti itu mempunyai kepadatan penyalahgunaan yang tinggi, ia mewujudkan satu bentuk normalisasi sosial.

“Tekanan rakan sebaya serta pendedahan berterusan terhadap aktiviti penyalahgunaan di kawasan sekitar menyukarkan individu untuk keluar daripada kitaran penagihan,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Beliau berkata, majoriti OKT juga memberikan alasan bahawa bekalan terlarang itu mudah diperoleh.

“Keberadaan ‘runner’ atau pengedar kecil-kecilan yang aktif di lapangan mewujudkan ekosistem bekalan yang agresif, sekali gus memudahkan akses kepada golongan ini.

“Berlaku juga persaingan harga yang kompetitif di pasaran gelap. Apabila permintaan di sesuatu lokaliti itu tinggi, ia cenderung menarik lambakan bekalan yang lebih besar, menjadikan harga pasaran lebih mampu milik bagi penagih tegar,” katanya.

Katanya, secara keseluruhannya, AADK Kedah komited melaksanakan pendekatan menyeluruh dan bersepadu merangkumi pencegahan, pendidikan, pemulihan, reintegrasi serta pengukuhan komuniti melalui kerjasama pelbagai pihak.

“Usaha ini bertujuan membina ketahanan sosial masyarakat dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, sihat dan sejahtera.

“Sehubungan itu, AADK berharap agar semua pihak terus menyokong usaha ini selaras dengan visi dan misi AADK ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia bebas dadah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top