DUBAI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan bersetuju membuka akses kepada berbilion dolar dana untuk Iran dalam satu langkah taktikal bagi meredakan ketegangan di Asia Barat, menurut beberapa sumber yang dipetik Reuters.
Perkembangan itu berlaku ketika rundingan lebih besar antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran memasuki fasa akhir bagi menamatkan konflik yang berlarutan serta melibatkan pembekuan aset bernilai puluhan bilion dolar hasil minyak Iran di luar negara akibat sekatan Washington.
Menurut dua sumber, sekurang-kurangnya AS$10 bilion (RM40 bilion) akan dibuka kepada Iran, dengan sebahagian daripadanya telah pun disalurkan.
Dua sumber lain pula mendakwa jumlah keseluruhan boleh mencecah AS$20 bilion (RM80 bilion).
Seorang sumber berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan ketegangan serantau selepas beberapa siri serangan yang dikaitkan dengan Iran ke atas negara Teluk termasuk UAE pada kemuncak konflik.
Bagaimanapun, Kementerian Luar UAE menafikan laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘tidak benar dan tidak berasas’, termasuk dakwaan bahawa dana beku telah dilepaskan atau dipindahkan.
Walaupun begitu, seorang pegawai UAE mengakui negara itu sedang berusaha mengurangkan ketegangan di rantau berkenaan serta menyokong usaha diplomatik antarabangsa bagi menstabilkan keadaan.
“Dasar luar UAE berteraskan usaha meredakan ketegangan dan mencapai keamanan berkekalan di rantau ini,” kata pegawai itu.
Sumber yang rapat dengan rundingan itu mendakwa perjanjian berkenaan turut melibatkan pemulihan hubungan ekonomi serta perkongsian maklumat antara UAE dan Iran, selain jaminan bahawa serangan peluru berpandu serta dron terhadap UAE akan dihentikan.
Langkah tersebut juga dilihat sebagai perubahan ketara dalam hubungan kedua-dua negara yang sebelum ini tegang sepanjang konflik, apabila serangan Iran menjejaskan sektor pelancongan dan imej keselamatan UAE sebagai pusat perniagaan utama serantau, khususnya Dubai.
Seorang sumber lain berkata, Iran sebelum ini turut mendapatkan perjanjian serupa dengan sekurang-kurangnya dua negara Teluk lain sebagai sebahagian usaha memperluaskan rundingan ekonomi dan keselamatan.
Laporan itu turut menyebut bahawa perbincangan bermula beberapa minggu lalu, namun dipercepatkan selepas lawatan pegawai Kor Pengawal Revolusi Iran ke Abu Dhabi bagi bertemu penasihat keselamatan negara UAE.
Seterusnya, delegasi UAE dilaporkan mengadakan lawatan balas ke Tehran bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan perjanjian tersebut.
Perkembangan ini hadir ketika rundingan AS-Iran dikatakan hampir dimuktamadkan, yang turut melibatkan isu pembukaan semula Selat Hormuz serta pelonggaran sekatan ekonomi terhadap Teheran.
Walaupun demikian, kedua-dua pihak masih belum mengesahkan secara rasmi butiran perjanjian tersebut. -Agensi



