KOTA TINGGI – Usaha memperluas akses digital masyarakat setempat, khususnya generasi muda luar bandar, diperkasa melalui Pelancaran Kad Sahabat DZR1 sempena Program Kempen Kesedaran dan Pencegahan Buli Siber yang diadakan di Dewan Kejora Bandar Tenggara, di sini pada Isnin.
Ahli Parlimen Tenggara merangkap Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib berkata, program itu sebagai tanda komitmen memastikan pelajar dan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus pendigitalan negara.
Menurutnya, inisiatif itu menjadi langkah strategik membina ekosistem pendidikan yang inklusif, selamat dan responsif terhadap cabaran semasa, termasuk jurang digital, keperluan sokongan pembelajaran fleksibel, tekanan emosi serta ancaman buli siber.
“Melalui Kad Sahabat DZR1, pelajar diberi akses kepada pembantu kecerdasan buatan (AI) yang berfungsi sebagai tutor digital 24 jam, saluran sokongan emosi, medium laporan buli secara sulit dan selamat, bimbingan kerjaya serta bahan pembelajaran digital.
“Pendekatan ini membuka ruang kepada pelajar menikmati pembelajaran berasaskan teknologi secara lebih mudah dan tersusun, sekali gus membudayakan penggunaan digital yang berhemah, bertanggungjawab dan bermanfaat kepada komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Panti, Hahasrin Hashim; wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, Kamaruddin Mohd Ali; wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Mohd Arbain Mohd Ramly dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Makmur Kota Tinggi, Salasiah Idris.
Sementara itu, beliau berkata, Kelab Sahabat DZR1 pula merupakan inisiatif komuniti pendidikan yang diperkenalkan bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik, memperkukuh kesejahteraan serta membentuk persekitaran sekolah yang selamat dan bebas buli.
Bertemakan ‘Tenggara AI Bersama DZRI Dalam Membentuk Anak Muda Yang Hebat’, inisiatif itu membawa hasrat menjadikan Tenggara sebagai model komuniti pendidikan luar bandar berteraskan pendigitalan.
Beliau berkata, pelantikan Duta AI Tenggara, Mohd Ridzman Azzahari, turut menjadi agenda penting program itu.
“Beliau berperanan sebagai ikon dan jurucakap AI pelajar, penggerak kempen sifar buli, fasilitator bengkel AI, pemantau penggunaan Kad DZR1 di sekolah serta penghubung antara pelajar dengan pihak penganjur.
“Peranan ini memperkukuh pendekatan komuniti agar inisiatif digital tidak terhenti pada peringkat pelancaran, sebaliknya diterjemahkan melalui bimbingan, pemantauan dan penglibatan berterusan di peringkat sekolah,” katanya.
Inisiatif Pejabat Parlimen Tenggara ini turut melibatkan kolaborasi pihak pendidikan, sekolah, agensi berkaitan serta rakan teknologi, sekali gus mencerminkan pendekatan bersepadu dalam memperkukuh pembangunan modal insan komuniti.
Penganjuran program itu menjadi manifestasi komitmen kerajaan membawa agenda pendigitalan lebih dekat kepada rakyat, khususnya pelajar luar bandar, agar mereka berkembang sebagai generasi muda yang berilmu, berdaya saing, berakhlak dan bebas daripada budaya buli.
Pelaksanaan ini dilihat berpotensi sebagai projek rintis untuk diperluas ke seluruh parlimen lain sebagai medium memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.



