GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberi amaran bahawa wabak COVID-19 menular lebih pantas daripada usaha vaksinasi ketika ini.
Justeru, badan antarabangsa itu menegaskan, ikrar negara anggota G7 untuk berkongsi satu bilion dos vaksin dengan negara miskin, adalah tidak mencukupi.
Malah, pemimpin kesihatan global turut memberi amaran bahawa jumlah vaksin dijanjikan itu adalah terlalu sedikit dan amat lewat, sedangkan lebih 11 bilion dos diperlukan.
Pada sidang kemuncak di Britain, baru-baru ini, kuasa perindustrian G7 berikrar menderma lebih satu bilion dos vaksin COVID-19, meningkat berbanding 130 juta dos yang dijanjikan pada Februari lalu, susulan tekanan berhubung isu ketidaksaksamaan akses terhadap suntikan itu.
“Saya menyambut baik pengumuman negara anggota G7 akan menderma 870 juta dos vaksin (baharu), terutama melalui COVAX.
“Ia adalah satu bantuan yang besar tetapi kita memerlukan lebih banyak lagi dan dengan lebih cepat. Ketika ini, virus itu menular lebih pantas daripada pengagihan vaksin global.
“Lebih 10,000 orang terkorban setiap hari… komuniti ini memerlukan vaksin. Mereka memerlukannya sekarang, bukan tahun depan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, kepada pemberita.
Ketika ini, rakyat di banyak negara kaya dilaporkan menikmati kehidupan yang kembali normal hasil kadar vaksinasi yang tinggi, manakala negara miskin pula terus bergelut dengan kekurangan bekalan suntikan pelalian itu.
Dari segi bilangan dos diberikan, ketidakseimbangan kadar vaksinasi antara negara anggota G7 dengan negara miskin, mengikut Bank Dunia ialah nisbah 73 kepada satu.
Sebahagian besar dos vaksin sumbangan G7 akan melalui COVAX, iaitu badan global bertanggungjawab memastikan pengagihan vaksin secara saksama.
WHO mahu sekurang-kurang 70 peratus populasi dunia telah menerima vaksin COVID-19 menjelang mesyuarat G7 di Jerman, tahun depan.
“Bagi mencapai sasaran itu, kita memerlukan 11 bilion dos vaksin. Negara anggota G7 dan G20 boleh membantu merealisasikannya,” kata Tedros. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




