am@hmetro.com.my
Pasir Puteh: Pasangan suami isteri warga emas meninggal dunia dalam kejadian kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Jalan Selinsing – Tok Bok (Simpang Kampung Durian), di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 7.40 pagi tadi ketika penunggang motosikal berusia 69 tahun bersama isterinya yang berusia 68 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha LC di lokasi kejadian.
Katanya, kedua mangsa dari arah Selinsing menuju ke Tok Bok sebelum sebuah kereta jenis Perodua Kancil memasuki simpang di sebelah kanan serta memasuki laluan motosikal kedua warga emas berkenaan.
“Disebabkan jarak terlalu dekat, penunggang motosikal tidak sempat mengelak dan berlaku kemalangan.
“Penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Saari berkata, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan serius dan mendapat rawatan lanjut di Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Bagi mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh ke balai berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Sub Inspektor Jafri Alias di talian 019-9386224.
© New Straits Times Press (M) Bhd



