LRT3 dijangka mula operasi akhir Jun – Loke

LRT3 dijangka mula operasi akhir Jun – Loke

Sepang: Operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dengan kawasan sekitarnya dijangka bermula hujung bulan ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata tarikh permulaan operasi akan diumumkan dalam masa dua minggu lagi dan projek itu kini berada dalam fasa akhir operasi percubaan.

“Selepas pebagai ujian dilaksanakan dan operasi percubaan dimuktamadkan, kita berkeyakinan operasi (LRT3) dapat dimulakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya ke-62 di sini hari ini.

Sementara itu, Loke berkata Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) tidak akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang bermula minggu depan.

“MTSB telah mendapat persetujuan Kabinet, tetapi sekarang kita sedang berbincang dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam untuk melihat dari segi perjawatan dan sebagainya.

“RUU ini akan dibawa pada persidangan akan datang kerana pada persidangan ini, ada satu RUU, iaitu pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan yang kita beri keutamaan,” katanya.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) juga telah mengenal pasti individu akan dilantik menganggotai MTSB yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata MOT akan mengadakan perbincangan dengan operator e-hailing tentang kemungkinan pelaksanaan langkah keselamatan tambahan untuk melindungi keselamatan pemandu mereka.

Antara cadangan yang dibangkitkan ialah pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) di dalam kenderaan e-hailing namun ia perlu mengambil kira kebimbangan privasi penumpang.

“Dari segi langkah keselamatan, kita akan berbincang lebih lanjut dengan pihak operator untuk melihat apa lagi tindakan yang boleh diambil oleh mereka untuk melindungi pemandu.

“Dalam aspek keselamatan, pemandu dan penumpang sama penting. Jadi kita harus memastikan keseimbangan antara kedua-duanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top