ercy.gracella@bh.com.my
Kuala Lumpur: Seramai lima kakitangan Penjara Taiping kini berdepan prosiding tindakan tatatertib, manakala seorang anggota penjara didakwa di mahkamah susulan insiden serangan terhadap lebih 100 tahanan pada Januari lalu yang mengorbankan seorang penghuni penjara.
Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan hari ini susulan penelitian laporan serta rumusan panel siasatan awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung insiden berkenaan.
Jabatan itu memaklumkan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh.
“Hasil siasatan terbabit membawa kepada pertuduhan terhadap seorang anggota penjara di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
“Pada masa sama, lima lagi kakitangan penjara sedang berdepan dengan prosiding tindakan tatatertib yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
“Tindakan ini mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang.
“Jabatan tidak akan melindungi atau berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang atau peraturan perkhidmatan tanpa mengira pangkat atau jawatan,” tegas jabatan itu.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 100 tahanan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 warden semasa proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada Januari 2025.
Seorang tahanan, Gan Chin Eng, maut dalam insiden itu.
Dalam pada itu, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu menegaskan pihaknya tidak akan melindungi atau berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang atau peraturan perkhidmatan tanpa mengira pangkat atau jawatan.
“Jabatan Penjara Malaysia mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan.
“Sehubungan itu, setiap aduan atau dakwaan yang diterima akan disiasat dan diteliti sewajarnya, manakala tindakan yang bersesuaian akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang didapati melakukan kesalahan.
“Pada masa sama, jabatan menghormati sepenuhnya proses siasatan dan prosiding perundangan yang sedang berjalan serta akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tanpa menjejaskan proses terbabit.
“Jabatan juga ingin menegaskan pengurusan dan layanan terhadap penghuni penjara sentiasa dilaksanakan berdasarkan kerangka perundangan yang berkuat kuasa, termasuk Akta Penjara 1995 (Akta 537) dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” katanya.
Katanya, komitmen berkenaan menjadi asas kepada pengoperasian institusi penjara di seluruh negara dalam memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan pengurusan prospek dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berperikemanusiaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Penjara Malaysia berkata, pihaknya komited meneruskan agenda pemodenan infrastruktur penjara termasuk perancangan pembinaan kompleks penjara baharu bagi menggantikan institusi yang telah uzur dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa.
“Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan berstatus Bangunan Warisan Kebangsaan antara institusi yang lama dikenal pasti memerlukan penggantian.
“Pembinaan fasiliti baharu yang lebih moden, selamat dan kondusif adalah penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh aspek keselamatan serta memelihara kebajikan prospek dan pegawai penjara.
“Jabatan Penjara Malaysia akan terus melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa dan kekal komited memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem koreksional negara melalui tadbir urus yang telus, profesional dan berintegriti,” katanya.
Terdahulu, Panel Inkuiri Awam SUHAKAM dalam keputusan akhir inkuiri berhubung rusuhan yang menyebabkan kematian seorang tahanan warga emas, mencadangkan Penjara Taiping dijadikan muzium kerana tidak lagi sesuai digunakan sebagai penjara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




