Piala Dunia 2026: Nunes harap Ruben Dias sempat pulih sebelum aksi pembukaan Portugal

Piala Dunia 2026: Nunes harap Ruben Dias sempat pulih sebelum aksi pembukaan Portugal

Palm Beach Gardens: Tonggak serba boleh Portugal, Matheus Nunes berharap rakan sepasukannya di Manchester City, Ruben Dias sempat pulih tepat pada waktunya untuk diturunkan dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2026 menentang DR Congo.

Dias dilaporkan tidak menjalani latihan bersama pasukan pada Isnin atas sebab yang tidak didedahkan, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kecergasannya menjelang perlawanan Kumpulan K di Houston.

Nunes menegaskan kehadiran Dias amat penting bukan sahaja dari segi permainan, malah sebagai pemimpin utama dalam skuad Portugal.

“Kami mahu dia ada dalam setiap perlawanan kerana dia sangat penting. Dia adalah rakan sepasukan saya di City dan semua orang tahu betapa pentingnya dia untuk pasukan ini,” kata Nunes.

“Dia antara pemimpin, suara yang sangat kuat dalam bilik persalinan dan juga di luar padang. Saya harap dia boleh cergas untuk perlawanan pertama dan sepanjang kejohanan.”

Dalam masa sama, Nunes menjawab kritikan terhadap pendekatan persiapan Portugal yang banyak menjalani sesi di pantai bagi menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Amerika Syarikat.

Katanya, ia sebahagian daripada pelan latihan yang sudah dirancang dan bukan perkara luar biasa.

“Kami ke pantai pada waktu pagi untuk menyesuaikan diri dengan cuaca kerana perbezaan suhu sangat ketara. Di Manchester tidak panas seperti di sini.

“Ia perkara normal. Bukan bermaksud kami lebih banyak berehat di pantai berbanding latihan,” jelasnya.

Nunes turut menegaskan beliau selesa beraksi di beberapa posisi termasuk di bahagian tengah dan pertahanan kanan, bergantung kepada keperluan pasukan.

“Saya boleh bermain kedua-duanya. Saya sudah biasa bermain sebagai bek kanan dan juga di posisi lain seperti sayap kiri,” katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu juga meluahkan rasa bangga mewakili Portugal walaupun mempunyai darah Brazil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top