Madrid: Mahkamah di wilayah Valencia menjatuhkan hukuman penjara selama lapan setengah tahun terhadap penyerang bola sepak Sepanyol, Rafa Mir selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual dan mencederakan mangsa.
Kes itu menjadi perhatian nasional di Sepanyol yang sememangnya sensitif terhadap isu keganasan dan hak wanita, terutama dalam dunia sukan selepas beberapa skandal besar sebelum ini membabitkan tokoh bola sepak negara itu.
Mir, yang ketika ini bermain secara pinjaman di kelab LaLiga Elche daripada Sevilla, ditahan pada September 2024 selepas seorang wanita membuat laporan polis berhubung dakwaan serangan seksual.
Menurut keputusan mahkamah, Mir bersama seorang lagi pemain bola sepak bertemu dua wanita di sebuah kelab malam di Valencia sebelum membawa mereka ke kediamannya untuk meneruskan pesta.
Di rumah terbabit, mahkamah mendapati Mir melakukan serangan seksual terhadap salah seorang wanita di kawasan kolam renang dan juga bilik mandi.
Mahkamah turut menegaskan bahawa keterangan mangsa adalah konsisten dan boleh dipercayai, disokong oleh bukti saksi serta laporan forensik.
Mangsa turut dianugerahkan pampasan sebanyak €64,000 (RM320,000).
Sevilla dalam satu kenyataan berkata kelab itu menghormati keputusan mahkamah dan menegaskan tiada ruang untuk keganasan atau penderaan dalam masyarakat mahupun dalam sukan.
“Kelab ini dengan penuh hormat terhadap proses kehakiman serta mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, penderaan atau serangan seksual.
“Elche CF tidak memberi sebarang komen ketika diminta mengulas mengenai kes berkenaan,” kata Sevilla.
© New Straits Times Press (M) Bhd




