Toronto: Ghana akan memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan misi membina semula reputasi sebagai kuasa bola sepak Afrika apabila berdepan Panama dalam aksi pembukaan Kumpulan L pada Rabu.
Namun cabaran awal The Black Stars sedikit terganggu selepas pemain tengah utama Thomas Partey tidak dibenarkan memasuki Kanada apabila permohonan visanya ditolak, sekali gus menyaksikan dia terlepas aksi di Toronto.
Ghana ketika ini berada di ranking ke-73 dunia selepas prestasi tidak konsisten termasuk kegagalan layak ke Piala Negara-Negara Afrika sebelum ini, namun masih berjaya muncul juara kumpulan kelayakan Piala Dunia.
Ketua jurulatih berpengalaman dari Portugal, Carlos Queiroz yang dilantik sejak April, kini memikul tanggungjawab besar untuk membawa Ghana kembali ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2010.
Bagaimanapun, ketiadaan pemain bintang Mohammed Kudus akibat kecederaan memberi kesan besar kepada skuad itu, yang kini bergantung kepada Antoine Semenyo untuk mengetuai jentera serangan.
“Segala-galanya boleh berlaku apabila anda mempunyai pemain berkualiti seperti ini,” kata Queiroz.
Di pihak lawan, Panama hadir dengan reputasi semakin meningkat selepas beberapa tahun perkembangan positif di bawah kendalian Thomas Christiansen.
Sejak mengambil alih pada 2020, jurulatih dari Denmark itu berjaya melonjakkan Panama dari ranking ke-81 ke tangga ke-34 dunia.
Panama yang sebelum ini tersingkir awal pada edisi 2018 kini memburu kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia, dengan penyerang Ismael Diaz dan Adalberto Carrasquilla dijangka menjadi sandaran utama.
“Bagi kami, tiada siapa yang perlu ditakuti. Kami mahu bersaing dengan mana-mana pasukan,” kata Diaz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




