Piala Dunia 2026: Penyokong Cape Verde di Boston raikan seri dengan Sepanyol seperti juara dunia

Piala Dunia 2026: Penyokong Cape Verde di Boston raikan seri dengan Sepanyol seperti juara dunia

Boston: Penyokong Cape Verde di bandar ini meraikan keputusan seri 0-0 menentang juara Eropah, Sepanyol, seolah olah mereka baru sahaja menjulang trofi Piala Dunia, selepas pasukan itu mencipta kejutan besar dalam aksi sulung Kumpulan H.

Keputusan bersejarah itu disambut dengan sorakan dan kegembiraan oleh ribuan penyokong di zon peminat di pusat bandar Boston, yang turut menjadi lokasi komuniti Cape Verde terbesar di Amerika Syarikat.

Sejurus wisel penamat dibunyikan, suasana bertukar menjadi pesta apabila bendera Cape Verde dikibarkan di seluruh kawasan sebagai tanda bangga terhadap pencapaian pasukan debutan itu.

“Ya Tuhan, rasanya seperti kami memenangi Piala Dunia.

“Semua orang jangka Sepanyol akan tewaskan kami, tetapi kami buktikan mereka silap. Kami mungkin kecil, tetapi semangat kami besar,” kata penyokong, Elizabeth dos Santos, 50, yang berhijrah ke Amerika Syarikat ketika berusia 14 tahun.

Seorang lagi penyokong, Gabi Vieira, berkata beliau bangga melihat Cape Verde berjaya mengikat pasukan gergasi dunia yang pernah muncul juara Piala Dunia 2010.

“Ini kali pertama kami berada di Piala Dunia dan kami datang tanpa harapan besar.

“Kami sentiasa bangga kibarkan bendera negara kami, tetapi bulan ini lebih istimewa kerana seluruh dunia kini melihat Cape Verde dan mendengar nama kami,” katanya.

Vieira turut berseloroh mengenai perlawanan seterusnya menentang Uruguay dengan mencadangkan “rahsia kemenangan” pasukan itu.

“Kami akan makan cachupa dan kami akan tewaskan mereka.

“Makan cachupa, itu rahsia kami,” katanya merujuk kepada hidangan tradisional Cape Verde yang diperbuat daripada jagung, kacang serta daging atau ikan.

Keputusan seri itu dianggap antara kejutan terbesar kejohanan setakat ini, sekali gus menyuntik keyakinan tinggi kepada Cape Verde untuk meneruskan cabaran dalam Kumpulan H.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top