Kansas City: Argentina memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala Dunia di Kansas City, bandar yang dilabel sebagai ibu kota barbeku dunia, namun penyokong pasukan Amerika Selatan itu yakin negara mereka sebenarnya adalah raja sebenar makanan panggang.
Ribuan penyokong berbaju biru putih membanjiri bandar di Midwest Amerika Syarikat (AS) itu menjelang aksi menentang Algeria, esok, sambil membawa bersama budaya makanan panggang atau asado yang cukup sinonim dengan Argentina.
Dakwaan mereka bahawa Argentina memiliki barbeku terbaik dunia dianggap berani memandangkan Kansas City terkenal dengan reputasi kulinarinya sendiri dan turut mempunyai muzium khas yang didedikasikan kepada seni barbeku.
Ketika daging dipanggang di restoran Argentina, Los Hornos, penyokong yang mengenakan jersi Lionel Messi dan Diego Maradona menari mengikut rentak gendang yang bergema tanpa henti.
Marco Narvaez, warga Argentina yang menetap di AS dan memiliki syarikat pengubahsuaian rumah, sudah tinggal di Alabama sejak 1996, namun masih percaya makanan panggang dari tanah airnya adalah yang terbaik.
“Sudah tentu saya pernah mencuba barbeku Amerika, tetapi secara jujurnya saya tidak begitu menyukainya.
“Saya lebih gemar menyediakan asado bersama sedikit chimichurri. Asado Argentina tidak ternilai harganya dan terkenal di seluruh dunia. Bagi saya, ia tiada tandingan,” kata lelaki berusia 56 tahun itu kepada AFP.
Tony Rivilli, pengurus hartanah sewaan jangka pendek dari Cordoba pula mengakui kedua-duanya sedap, namun tetap memilih asado Argentina sebagai pemenang.
“Mustahil untuk saya mengatakan asado Argentina tidak lebih baik. Saya sudah mencuba kedua-duanya. Di Amerika ada potongan daging dipanggil brisket yang memang lazat.
“Perbezaannya, mereka gemar menggunakan perapan dan pelbagai sos, manakala gaya Argentina hanya menggunakan garam dan lada hitam.
“Kedua-duanya sedap, cuma berbeza. Bagi saya, asado dan barbeku adalah dua perkara berlainan. Itu tidak bermakna kita tidak boleh menikmati kedua-duanya,” katanya.
Di satu lagi lokasi di bandar itu, dua ahli perniagaan Argentina, Leo Garcia dan Carlos Espina, mencuba hidangan gaya Amerika di restoran terkenal Joe’s Kansas City BAR-B-QUE.
“Bagi saya, tiada apa yang dapat menandingi asado Argentina.
“Makanan ini lebih pedas. Saya lebih cenderung kepada asado Argentina. Rasanya berbeza kerana rakyat Amerika mempunyai cita rasa yang tidak sama dengan kami,” kata Espina.
Sementara itu, jurubahasa bahasa isyarat dari Buenos Aires, Daniela Ruiz menjelaskan bahawa budaya asado jauh lebih besar daripada sekadar makanan.
“Asado Argentina bukan hanya tentang makan daging atau berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan, tetapi juga mengenai mengeratkan hubungan.
“Sejak awal pagi lagi kami akan menyalakan api menggunakan arang atau kayu, kemudian daging dimasak perlahan-lahan untuk tempoh yang lama sebelum semua orang duduk menikmati hidangan bersama.
“Ia lebih daripada sekadar makan di meja. Mungkin itulah yang memberikan rasa istimewa yang tidak dapat ditandingi oleh apa sahaja di dunia ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




