Atlanta: Penjaga gol Cape Verde, Vozinha memperoleh hampir empat juta pengikut baharu di Instagram selepas mempamerkan aksi luar biasa ketika membantu negaranya mengikat Sepanyol dalam saingan Piala Dunia.
Penjaga gol berusia 40 tahun itu beraksi cemerlang ketika Cape Verde mencatat keputusan seri 0-0 dalam penampilan sulung mereka di pentas Piala Dunia.
Aksi hebatnya begitu memukau pengulas di saluran Brazil, Caze TV, sehingga mereka menggesa penonton membantu Vozinha mencapai 100,000 pengikut Instagram ketika waktu rehat perlawanan.
Seruan itu disambut peminat yang beramai-ramai mengikuti akaunnya, dengan jumlah pengikut meningkat kepada 220,000 dalam tempoh kurang seminit.
Pemain veteran yang beraksi bersama kelab divisyen kedua Portugal, Chaves itu dijangka menerima lambakan notifikasi apabila melihat telefonnya selepas tamat perlawanan.
Menjelang minit ke-60 permainan, jumlah pengikut Instagramnya sudah mencecah 350,000.
Sebaik tamat perlawanan, angka itu meningkat kepada 389,000 sebelum melonjak lebih 500,000 lagi hanya dalam tempoh lima minit selepas wisel penamat.
Ketika dia tiba di bilik persalinan, jumlah pengikutnya sudah melepasi angka sejuta.
Penjaga gol berpengalaman itu menjadi watak utama ketika Cape Verde mengejutkan Sepanyol dengan keputusan seri tanpa jaringan di Atlanta.
Vozinha menerima penilaian 8.4 daripada WhoScored dan melakukan tujuh penyelamatan penting sepanjang perlawanan.
Selepas wisel penamat, dia dikerumuni rakan sepasukan yang meraikan kejayaan bersejarah itu, manakala wajahnya jelas menunjukkan emosi yang sukar dibendung.
Vozinha sudah mewakili Cape Verde sejak 2012 dan perlawanan menentang Sepanyol itu adalah penampilan antarabangsa ke-89 buatnya.
“Saya menangis selepas perlawanan kerana ketika kecil saya dibesarkan oleh datuk dan nenek. Mereka tidak dapat berada di sini kerana sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.
“Ibu saya juga tidak dapat datang kerana masalah visa dan kos yang perlu ditanggung. Kami tidak sempat menguruskannya,” katanya selepas tamat perlawanan.
Dalam temu bual bersama Caze TV selepas perlawanan, Vozinha dimaklumkan mengenai jumlah pengikut baharu yang diperolehnya.
“Sebelum ini saya mempunyai hampir 50,000 pengikut. Mereka kata saya kini ada kira-kira setengah juta pengikut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




