
Garcia gesa anak buahnya bangkit mencipta kemenangan ke atas Iran selepas ini. Foto Agensi
KETUA jurulatih Belgium, Rudi Garcia menganggap pertemuan dengan Iran pada awal pagi Isnin depan (3 pagi waktu Malaysia) sebagai misi wajib menang selepas pasukannya sekadar seri 1-1 dengan Mesir dalam aksi pembukaan Kumpulan G.
Garcia mengakui keputusan itu mengecewakan dan tidak mahu Belgium terus tercicir mata jika berhasrat melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2018.
“Kami perlu menang ke atas Iran. Tiada pilihan lain,” kata Garcia.
Dalam perlawanan pertama, Mesir terlebih dahulu mengejutkan Belgium menerusi jaringan pemain tengah, Emam Ashour pada minit ke-18, sebelum Belgium menyamakan kedudukan pada minit ke-66 hasil gol sendiri pertahanan lawan, Mohamed Hany.
Kemasukan Romelu Lukaku pada babak kedua turut mengubah corak permainan Belgium dengan Garcia memuji pengaruh besar penyerang itu terhadap benteng lawan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Lukaku masih belum bersedia untuk memulakan perlawanan selepas hanya beraksi secara terhad bersama Napoli musim lalu.
Dalam perkembangan sama, pemain sayap Belgium, Jeremy Doku terpaksa dikeluarkan pada penghujung perlawanan akibat masalah pernafasan.
Namun Garcia memaklumkan keadaannya semakin pulih dan dijangka bersedia untuk aksi menentang Iran.



