Lelaki lalui 'ujian dewa' selepas makan cendawan liar

Lelaki lalui 'ujian dewa' selepas makan cendawan liar

Kunming: Seorang lelaki China bertindak memanjat keluar dari tingkap rumahnya di tingkat 27 selepas menghadapi halusinasi teruk akibat makan cendawan liar Jianshouqing yang dimasak sendiri.

Lelaki dikenali dengan nama keluarga Xue dari wilayah Yunnan, barat daya China itu berkata, dalam halusinasi itu dia percaya ahli keluarganya sedang mengajaknya untuk ‘melatih diri melalui ujian dan mencapai tahap dewa’ iaitu konsep yang sering muncul dalam novel fantasi China.

Xue dilapor SCMP berkata, dia secara luar sedar memanjat keluar dari tingkap flatnya sebelum menggelongsor turun menggunakan batang paip air sehingga menyebabkan perutnya calar-balar.

Dia bernasib baik apabila rakannya yang berada di tingkat 26 menyedari aksi bahaya itu dan menariknya masuk ke dalam rumah.

Xue seterusnya dikejarkan ke hospital berhampiran namun gagal pulih sepenuhnya daripada kesan toksik cendawan dan koma.

Rakan-rakannya segera memindahkan mangsa ke Hospital Gabungan Universiti Yunnan untuk rawatan lanjut pakar.

Seorang doktor di hospital itu, Dr Zhu berkata, pasukan perubatan menjalankan beberapa prosedur kecemasan termasuk mencuci perut mangsa yang mengambil masa beberapa hari sebelum pesakit kembali pulih.

Xue berasal dari wilayah Jiangsu di timur China namun 40 tahun tinggal di Yunnan sudah biasa memasak cendawan liar di rumahnya apabila tiba musimnya pada setiap tahun.

Siasatan mendapati Xue menggoreng dua bahagian cendawan Jianshouqing dan memakan sebahagiannya pada hari sama, manakala baki hidangan disimpan dalam peti sejuk.

Dia kemudian menggoreng semula hidangan yang disimpan itu pada keesokan harinya sebelum memakannya bersama alkohol.

Dr Zhu berkata, kebelakangan ini beliau banyak merawat kes keracunan yang berpunca daripada cendawan liar yang tidak dimasak sempurna termasuk kes Xue.

Menurutnya, Xue dipercayai gagal memanaskan semula hidangan cendawan pada suhu mencukupi, yang menyebabkan dia keracunan.

Musim pertumbuhan cendawan dan kulat liar di Yunnan adalah pada setiap Jun hingga Ogos dan sering dinantikan penduduk tempatan serta pelancong yang gemar menikmati cendawan segar dan ‘berisi’.

Jianshouqing yang bermaksud ‘tengok tangan bertukar biru’ adalah jolokan buat cendawan itu yang akan bertukar warna biru apabila terdedah atau dipotong.

Ia sejenis kulat bolete liar (Lanmaoa asiatica) yang mempunyai kesan psikoaktif dan dikatakan perlu dimasak sekurang-kurangnya 15 minit pada suhu melebihi 120°C sebelum selamat dimakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top