Kilang makanan haiwan simpan 53 tan tepung gandum tanpa permit diserbu KPDN

Kilang makanan haiwan simpan 53 tan tepung gandum tanpa permit diserbu KPDN

am@hmetro.com.my

Baling: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita 53 tan tepung gandum di sebuah kilang memproses makanan haiwan di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil, di sini, semalam kerana disyaki disimpan tanpa permit sah.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, penguat kuasa KPDN turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang mengaku sebagai pengurus premis berkenaan bagi membantu siasatan.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 4.30 petang semalam dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan tepung gandum yang dipercayai digunakan untuk tujuan memproses makanan haiwan keluaran syarikat itu.

“Pengurus premis itu gagal untuk mengemukakan permit atau kebenaran pengawal bekalan bagi tujuan menyimpan tepung gandum berkenaan yang menjadi satu kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pasukan serbuan menyita 53,325 kilogram tepung gandum untuk siasatan lanjut. Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM100,251, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru pengguna, peniaga mahupun pihak industri atau mana-mana organisasi menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan melalui WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800 dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top