kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Prospek pasaran Malaysia bagi separuh kedua 2026 dijangka lebih positif disokong pengurangan ketidaktentuan geopolitik global, pertumbuhan pendapatan korporat yang lebih kukuh serta potensi kemasukan semula dana asing ke pasaran tempatan.
Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank Berhad, Loong Chee Wei berkata, kemungkinan perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran boleh menjadi pemangkin utama kepada sentimen pelaburan global dan membantu mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran ekuiti termasuk Malaysia.
Katanya, perkembangan itu berpotensi membuka semula laluan strategik Selat Hormuz yang menjadi nadi kepada hampir 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
“Pasaran kewangan lazimnya memberi reaksi positif apabila ketidaktentuan geopolitik berkurangan dan sebarang perkembangan ke arah penyelesaian konflik akan meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong aliran masuk dana ke pasaran saham.
“Pasaran tidak menyukai ketidaktentuan, apabila risiko geopolitik berkurangan, pelabur akan kembali memberi tumpuan kepada asas ekonomi dan prestasi syarikat,” katanya pada pembentangan Prospek Pasaran Separuh Kedua 2026: Pemulihan Bergantung kepada Penyelesaian Ketidakpastian di sini, hari ini.
Menurutnya, Malaysia turut disokong asas ekonomi yang kukuh dengan pertumbuhan pendapatan korporat dijangka meningkat sekitar sembilan peratus tahun ini, melebihi purata sejarah.
Katanya, purata hasil dividen pasaran tempatan sekitar empat peratus serta penilaian saham yang masih berada di bawah purata sejarah menjadikan Bursa Malaysia kekal menarik kepada pelabur.
“Kebanyakan syarikat tersenarai mempunyai kedudukan kewangan yang mantap. Selain itu, jurang pulangan pendapatan dan hasil dividen yang menarik dijangka mendorong peralihan pelaburan ke pasaran ekuiti.
“Selain itu, program MyValue Up juga dijangka membantu menarik lebih banyak aliran dana asing ke pasaran tempatan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.
Sehubungan itu, Affin Hwang Investment Bank mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap pasaran saham Malaysia dengan sasaran Indeks FBM KLCI pada 1,780 mata menjelang akhir tahun ini.
Mengulas prospek ekonomi negara, Loong berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang 4.8 peratus tahun ini manakala nilai ringgit dijangka berada pada paras RM3.80 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun.
Beliau berkata, antara tema utama yang dijangka memacu pasaran pada separuh kedua tahun ini ialah pertumbuhan pelaburan berterusan bagi meningkatkan kapasiti industri, lebih banyak aktiviti korporat termasuk penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta peningkatan penggunaan domestik yang disokong pertumbuhan gaji dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Walaupun risiko geopolitik dan turun naik pasaran mata wang global masih boleh mempengaruhi sentimen pasaran, kami melihat prospek Malaysia kekal positif sepanjang baki tahun ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




