
Maszlee Malik. Foto: Bernama
KOTA BHARU – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dikaitkan sebagai ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya akan datang.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tiada sebarang keputusan atau pengumuman rasmi dibuat setakat ini.
“Belum ada pengumuman. Kita akan umumkan calon apabila parti selesai menjalankan proses saringan yang sedang berjalan ketika ini.
“Bila tiba masanya, kita akan membuat pengumuman rasmi,” katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Kelantan di sini pada Selasa.
Terdahulu tular dakwaan mengatakan Maszlee akan bertanding pada PRN Johor dan seterusnya akan dicalonkan sebagai Menteri Besar sekiranya PH menang pada pilihan raya tersebut.



