MIC sah bertanding 4 kerusi PRN Johor, sasar perkukuh pengaruh politik

MIC sah bertanding 4 kerusi PRN Johor, sasar perkukuh pengaruh politik

Naib Presiden Malaysian Indian Congress (MIC), Datuk T. Murugiah memaklumkan parti itu akan bertanding di empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beratanding 4 kerusi

Memetik laporan Harian Metro, perkara tersebut telah disahkan oleh Presiden Tan Sri S.A. Vigneswaran yang sebelum ini menghadiri sesi perbincangan bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) berhubung persiapan PRN Johor serta Negeri Sembilan.

“Buat masa ini, presiden menyatakan kami bertanding empat kerusi di Johor manakala (bagi PRN) Negeri Sembilan (jumlah kerusi yang bakal ditandingi MIC) belum diputuskan.
“Persiapan untuk perkara itu sedang dilakukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat sempena Sambutan Ulang Tahun MIC ke-80 di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Dalam masa sama, Murugiah berkata MIC sedang memperkukuh jentera parti dengan penganjuran latihan khas dua hari di Johor Bahru hujung minggu ini, melibatkan kira-kira 150 penceramah.

Katanya, latihan tersebut bertujuan memastikan semua petugas dapat menyampaikan maklumat yang tepat ketika berkempen kepada masyarakat India di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Mereka akan diberikan latihan tentang cara berucap dan mesej yang perlu disampaikan sebelum ditugaskan untuk berceramah di kesemua 56 DUN yang ditandingi BN bagi menarik sokongan masyarakat India.
“Kami perlu berhati-hati dengan naratif yang disampaikan kerana BN masih dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional,” jelasnya.

Foto: Janaan AI

Mengimbas PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, MIC berjaya memenangi tiga daripada empat kerusi yang ditandingi iaitu Kemelah, Kahang dan Tenggaroh, manakala kalah di Bukit Batu.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber dalaman parti memaklumkan MIC dijangka mengekalkan pertaruhan di Kemelah, Kahang dan Bukit Batu pada PRN kali ini, manakala kerusi Tenggaroh akan ditukar dengan UMNO untuk memberi laluan kepada Perling.

“Boleh dijangkakan 50 peratus calon baharu di PRN Johor kali ini. Bagi PRN Negeri Sembilan, MIC ada peluang bertanding di dua kerusi,” menurut sumber berkenaan.

Berdasarkan ketetapan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian PRN Johor, dengan 27 Jun sebagai hari penamaan calon dan 7 Julai untuk pengundian awal.

Bagi PRN Negeri Sembilan pula, SPR menetapkan 1 Ogos sebagai hari mengundi, 18 Julai sebagai hari penamaan calon dan 28 Julai sebagai pengundian awal.

Artikel lain: MIC sertai PN? Tiada keputusan dibuat! Saravanan nafi dakwaan Takiyuddin

Sementara itu, sempena Sambutan Ulang Tahun MIC ke-80, Murugiah berkata parti berkenaan akan menganjurkan program sukan di 152 kawasan seluruh negara pada Sabtu ini.

Beliau turut menjemput masyarakat pelbagai kaum untuk menyertai program tersebut yang menawarkan pelbagai acara seperti bola sepak, badminton, boling, karom dan mendaki.

Sumber: Harian Metro

Scroll to Top