Irvine: Amerika Syarikat (AS) enggan menganggap aksi menentang Australia dalam saingan Kumpulan D Piala Dunia, Jumaat ini sebagai tugas mudah, meskipun beberapa penganalisis menjangka mereka tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan.
Pemain sayap AS, Tim Weah berkata, skuad kendalian Mauricio Pochettino lebih memberi tumpuan kepada persiapan pasukan berbanding komen atau kritikan daripada pihak luar.
Penganalisis CBS Sports dan bekas pemain MLS, Mike Grella sebelum ini menyifatkan pertemuan itu sebagai sesuatu yang mudah buat AS serta melabel Australia sebagai pasukan paling lemah dalam kumpulan.
Legenda AS yang kini menjadi penganalisis Fox Sports, Landon Donovan pula meramalkan Socceroos akan menamatkan saingan di tangga tercorot, malah menyifatkan jurulatih mereka, Tony Popovic sebagai “angkuh”.
Namun, Weah menegaskan segala komen itu tidak memberi kesan terhadap pendekatan pasukan.
“Semua cakap cakap itu bagi saya hanyalah karut.
“Apabila melihat pasukan Australia, mereka adalah skuad muda yang memiliki semangat juang tinggi, kental dan lapar untuk berjaya, sama seperti kami.
“Jadi kami menghormati mereka seperti mana kami menghormati mana mana lawan lain.
“Saya tidak tahu apa yang cuba dilakukan media, tetapi kami tidak fokus kepada perkara itu. Kami fokus kepada gambaran lebih besar dan melakukan apa yang perlu sebagai satu pasukan untuk bersedia,” katanya.
Australia hadir ke Seattle dengan keyakinan tinggi selepas mencipta kejutan menewaskan Turkiye 2-0 dalam aksi pembukaan menerusi pertahanan berdisiplin serta penyudah yang tajam.
Pemain tengah AS, Sebastian Berhalter turut mengakui Australia sudah membuktikan mereka bukan lawan yang mudah untuk ditewaskan.
“Anda boleh lihat Turkiye berdepan kesukaran untuk memecahkan benteng mereka.
“Mereka bermain dengan sangat baik. Saya suka cara mereka bertahan. Mereka bergerak sebagai satu unit dan memberikan segala yang mereka ada.
“Mereka melakukan tugas dengan baik. Ia pasti menjadi perlawanan yang hebat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, AS turut memantau tahap kecergasan Christian Pulisic selepas penyerang itu dikeluarkan pada separuh masa ketika kemenangan 4-1 ke atas Paraguay akibat masalah betis.
Pemain berusia 27 tahun itu kini dinilai dari hari ke hari.
Weah bagaimanapun optimis Pulisic mampu diturunkan.
“Pada saya, dia kelihatan seperti biasa. Dia nampak normal dan cergas.
“Dia mengalami sedikit hentakan dan kini bersama pegawai perubatan, tetapi saya fikir dia akan bersedia untuk perlawanan itu.
“Saya hanya berdoa dia benar benar cergas 100 peratus kerana kami memerlukannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




