mohamadridzuan@hmetro.com.my
Penduduk Bandaraya Petaling Jaya dan masyarakat sekitar sering tertunggu-tunggu ketibaan sambutan ulang tahun Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Ia berikutan pelbagai acara menarik diadakan, selain persembahan artis popular dan terkenal yang dibawakan secara percuma kepada mereka.
Tahun ini, MBPJ akan menyambut ulang tahun ke-20 dan mereka bakal menganjurkan Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 bermula 16 hingga 21 Jun ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, festival ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan dua dekad sejak Petaling Jaya diisytiharkan sebagai bandar raya.
“Sambutan selama enam hari itu bakal menghimpunkan pelbagai program berteraskan pembelajaran sepanjang hayat, pendigitalan, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti serta kebudayaan yang membabitkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
“Antara tarikan utama ialah PJ Learning City Festival 2026 menampilkan pelbagai program berteraskan pembelajaran sepanjang hayat merangkumi forum pendidikan, literasi digital, pembangunan kemahiran, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan sesi perkongsian ilmu,” katanya.
Mohamad Zahri berkata demikian pada Majlis PraPelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Ibu Pejabat MBPJ, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Menurutnya, sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai program komuniti dan kebudayaan seperti festival makanan, persembahan seni budaya, persembahan buskers dan aktiviti keluarga.
“Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin iaitu majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20.
“Ia bakal menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui perarakan komuniti membabitkan sekolah, institusi penagajian tinggi, sektor kesihatan, industri perhotelan, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi strategik.
“Seperti biasa, MBPJ turut menghargai peranan artis dan penggiat seni budaya yang menyatukan masyarakat berbilang kaum di Petaling Jaya sejak sekian lama,” katanya.
Majlis terbabit turut menampilkan persembahan istimewa penyanyi Lan Solo menerusi lagu Memburu Impian dan Dipenjara Janji.
Sementara itu, artis yang akan menghiburkan penonton ialah Ernie Zakri, Shidi Data, Salma Asis, Zubir Khan, Victoria, Thalita dan Zaki Yamani.
Lain-lain artis yang akan beraksi ialah Cherpen, manakala 21 Jun ialah Lan Solo, KOI dan Floor 88.
© New Straits Times Press (M) Bhd




