Houston: Pengendali Portugal, Roberto Martinez enggan melayan spekulasi mengenai masa depannya ketika beliau memberi tumpuan penuh untuk membimbing Portugal memburu kejuaraan Piala Dunia menjelang aksi pembukaan Kumpulan K menentang Republik Demokratik Congo, awal pagi esok.
Kontrak jurulatih berusia 52 tahun itu bakal berakhir sebaik sahaja kempen Piala Dunia tamat, sekali gus mencetuskan andaian bahawa kejohanan kali ini mungkin menjadi pentas terakhirnya bersama Portugal.
Bagaimanapun, Martinez menegaskan perkara itu bukan isu baharu dan fokus utamanya ketika ini adalah memastikan Portugal mampu melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan berprestij itu.
“Ini bukan perkara baharu kerana kami sudah banyak kali membincangkannya di Portugal.
“Perkara paling penting sekarang ialah memberi tumpuan kepada usaha memenangi Piala Dunia,” katanya.
Portugal bagaimanapun menerima sedikit tamparan apabila tonggak pertahanan, Ruben Dias disahkan terlepas aksi pembukaan selepas gagal pulih daripada kecederaan yang dialami ketika aksi persahabatan menentang Nigeria.
Menurut Martinez, pihak perubatan tidak mahu mengambil sebarang risiko terhadap pemain pertahanan itu pada peringkat awal kejohanan.
“Dari sudut perubatan, kami memerlukan dia berada pada tahap 100 peratus untuk beraksi dalam perlawanan Piala Dunia.
“Ketika ini bukan masa yang sesuai untuk mengambil risiko,” katanya.
Walaupun kehilangan Dias, Portugal masih memiliki senjata utama mereka iaitu kapten berpengalaman, Cristiano Ronaldo yang kini beraksi dalam Piala Dunia keenam sepanjang kariernya.
Martinez menyifatkan Ronaldo sebagai contoh terbaik buat pemain bola sepak di seluruh dunia dan kagum dengan komitmen yang terus ditunjukkan penyerang veteran itu.
“Dia adalah ikon bola sepak dunia dan menjadi teladan kepada ramai atlet lelaki serta wanita.
“Ini adalah Piala Dunia keenamnya, tetapi cara dia bekerja dan berlatih membuatkan ia seolah-olah kejohanan pertamanya.
“Dia sangat penting buat kami kerana mampu membuka ruang kepada pemain lain untuk menyerang,” katanya.
Martinez turut memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak memandang rendah kemampuan Congo yang disifatkan memiliki kekuatan fizikal dan pantas melakukan serangan balas.
“Kami perlu menyamai semangat dan intensiti mereka. Dalam kejohanan seperti ini, kemenangan satu gol dianggap biasa, seri dianggap bencana dan kekalahan pula seolah-olah pengakhiran segala-galanya.
“Keputusan yang dicatatkan Cape Verde ketika mengikat Sepanyol tanpa jaringan membuktikan tiada perlawanan mudah di Piala Dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




