
Hamzah
SHAH ALAM – Malaysia memerlukan satu hijrah nasional iaitu hijrah daripada politik yang memecah-belahkan kepada menyatukan.
Begitu juga hijrah daripada ekonomi yang menekan kos sara hidup rakyat kepada memakmurkan dan hijrah daripada sistem yang lemah kepada institusi berintegriti serta adil.
Atas dasar itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gerakan ‘Reset’ adalah ikhtiar untuk mengembalikan negara kepada landasan yang betul berteraskan nilai, amanah, keadilan dan prinsip ‘amar makruf nahi mungkar’.
“Ia bukan sekadar gerakan politik, tetapi gerakan membina semula keyakinan rakyat terhadap masa depan Malaysia.
“Makna penghijrahan sebenar apabila kita mampu menjalani kehidupan yang berpandukan kepada syariat Islam dan sunnah Rasulullah SAW dengan melakukan perubahan sikap ke arah mahmudah serta meninggalkan sikap mazmumah.
“Semangat inilah juga yang menjadi asas kepada gerakan ‘Reset’. Selamat menyambut Maal Hijrah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Pada Sabtu lalu, Hamzah yang juga Ketua Gerakan ‘Reset’ Malaysia mengumumkan bahawa gerakan itu akan bernaung di bawah parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama pelbagai blok di negara ini.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, Parti Wawasan Negara diwujudkan sebagai wadah penyatuan yang akan bekerjasama dengan Pas dan parti-parti lain bagi membentuk kesefahaman politik komprehensif serta meyakinkan.



