am@hmetro.com.my
Melaka: Lebih empat dekad mencurah bakti dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam melayakkan Datuk Abdul Rahim Abdul Chalik Al-Hafiz dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Melaka 1447H/2025M, malam tadi.
Abdul Rahim, 75, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Rahim menerima pengiktirafan itu atas sumbangan besarnya dalam usaha memperkukuhkan syiar Islam menerusi pendidikan, dakwah dan pembangunan masyarakat di negeri ini.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Khas Pendakwah Arab Saudi selain aktif dalam pelbagai program dakwah serta kemasyarakatan di Melaka dan seluruh negara.
Anak kelahiran Madina di Indonesia yang kini menetap di Taman Peringgit Jaya, di sini, turut berkhidmat sebagai hakim Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri sejak 1987 selain menjadi Guru Takmir dan penulis khutbah Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Pemilihan itu membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej mengerjakan umrah bernilai RM10,000, sijil pengiktirafan serta pingat tokoh.
Anugerah disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka di Masjid Kampung Alai, di sini, malam tadi yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ketika ditemui, Abdul Rahim meluahkan kesyukuran atas pengiktirafan diterimanya dan menyifatkan anugerah itu sebagai amanah untuk terus memperkukuhkan usaha dakwah kepada masyarakat.
“Kepada sahabat yang sedang berdakwah, jangan takut dan jangan berputus asa kerana Allah sentiasa bersama kita. Apabila kita melakukan kebaikan dan menyampaikan dakwah dengan ikhlas, insya-Allah akan ada ganjaran dan keberkatannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




